Sila log masuk terlebih dahulu.

PN umum calon ketua menteri jika menang PRN Melaka: Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

MELAKA - Perikatan Nasional (PN) hanya akan mengumumkan siapa bakal menduduki kerusi ketua menteri jika gabungan parti politik itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

"Macam yang saya sebut tadi mengenai calon ketua menteri, ini kita tunggu selepas PRN, dan selepas kita tahu siapa yang menang, siapa yang duduk dalam gabungan kita di Dewan Undangan Negeri (DUN), dan kita pasti akan pilih calon ketua menteri terbaik untuk negeri Melaka. Jadi saya tak nak komen ke situ nanti ia jadi isu lain," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Wan Saiful menjawab soalan mengenai khabar angin mendakwa Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang kini bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara, akan menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka.

Ditanya mengenai keterbukaan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan parti lain jika parti itu menang pada PRN ini, Wan Saiful berkata, Bersatu akan membincangkan perkara berkenaan, juga selepas PRN nanti.

"Mula-mula fokus kita ialah untuk memastikan PN mendapat bilangan kerusi majoriti yang jelas supaya kita boleh membentuk satu kerajaan yang stabil di Melaka. Apa yang berlaku selepas itu, kita tunggu selepas pilihan raya, selepas itu baru kita bincang mengenai isu-isu ini," katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata, beliau yakin untuk menyumbang satu kerusi DUN pada PRN kali ini di bawah PN.

"Walaupun Pas tak menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi waktu itu pertandingan tiga penjuru dan sebagainya, Pas sudah ada undi teras, jadi apabila berlaku gabungan dalam PN kita jangkakan calon-calon di DUN yang kita letakkan akan bertambah undilah (sebab) undi teras dah ada.

Artikel Berkaitan:

"Macam saya (bertanding) di DUN Duyong, saya dah ada 3,000 undi yang saya peroleh (pada PRU14). Dengan ada gabungan daripada Gerakan dan Bersatu saya yakin undi akan meningkatlah," katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri. - Bernama