'PRN Melaka bukan medan hentam menghentam'

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak seharusnya dijadikan medan bagi parti politik bertanding mengeluarkan kenyataan menghentam parti lawan bagi meraih undi.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri juga ada menyebut bahawa semua pihak perlu mengelakkan kempen secara kutuk-mengutuk atau mengeji satu sama lain.

"Pas tidak buat kerja begitu. Jadi, saya rasa eloklah medan PRN itu tidak digunakan untuk hentam-menghentam memandangkan rakyat sudah tahu segalanya yang berlaku dulu dan sekarang.

"Kes mahkamah atau apa saja semua orang tahu dan tidak perlulah tikam-menikam lagi kerana pengundi akan membuat pertimbangan berdasarkan maklumat serta pengetahuan yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Executive Talk Perundangan Perancangan di Hotel Raia di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kempen PRN Melaka yang sedang berlangsung ketika ini.

Mengulas mengenai hubungan antara Pas dan UMNO, Muhammad Sanusi berkata, segalanya masih berjalan seperti biasa kerana kedua-dua parti itu masih dalam Muafakat Nasional (MN) walaupun Pas bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, PN juga telah berdaftar dan mempunyai logo dan pengerusi.

"Di Melaka, Pas dan UMNO tak bertembung, sebaliknya yang bertembung adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan PN," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berpendapat ia perkara biasa sebagai perkara baharu dalam pola politik yang berubah tetapi diharapkan tidak menjejaskan muafakat lebih besar.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, Pas tidak berdepan masalah untuk memperkenalkan calon-calon yang bertanding kepada pengundi di PRN Melaka.

Beliau berkata, semua jentera sudah diminta untuk berkempen dalam norma baharu yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita sedang menyesuaikan diri dan banyak guna media sosial memandangkan tiada program terbuka dibenarkan. Namun kita pun rasa selamat," ujarnya.