Sasaran 60 lagi CDERT Keluarga Malaysia di landasan tepat

Datuk Dr Abd Latiff Ahmad
Datuk Dr Abd Latiff Ahmad
A
A
A

BANGI - Sasaran penubuhan 60 lagi Pasukan Sukarelawan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Keluarga Malaysia di kawasan Parlimen seluruh negara berada pada landasan yang tepat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 44 CDERT Keluarga Malaysia telah ditubuhkan melibatkan 1,080 anggota.

“Saya terus komited untuk pastikan CDERT ini dapat ditubuhkan di setiap kawasan Parlimen. Penubuhan CDERT ini tepat pada masanya memandangkan ketika ini musim bencana alam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) dan penyerahan sijil penubuhan CDERT Keluarga Malaysia di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Abd Latiff dilaporkan berkata, terdapat 5,900 anggota sukarelawan CDERT daripada 162 kawasan Parlimen di seluruh negara sedia digerakkan pada bila-bila masa diperlukan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penubuhan CDERT Keluarga Malaysia adalah selaras dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Oktober lepas, supaya rakyat dan komuniti bersiap siaga bersama agensi terlibat dalam berdepan bencana serta musim tengkujuh.

Abd Latiff berkata, individu berusia 18 tahun dan ke atas dialu-alukan menyertai pasukan itu dan mereka yang layak akan menjalani latihan asas pengurusan bencana merangkumi aspek menyelamat, perubatan dan melawan kebakaran di bawah seliaan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Katanya, kerajaan menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada semua pengarah APM negeri bagi memastikan kelangsungan pasukan itu sekali gus melatih masyarakat dengan ilmu pertahanan awam. - Bernama

Artikel Berkaitan: