Jaafar larang jentera parti serang peribadi calon

Jaafar (kiri) ketika minum di kedai di Pekan Durian Tunggal pada Khamis.
Jaafar (kiri) ketika minum di kedai di Pekan Durian Tunggal pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Jaafar Othman akan bekerja keras untuk menawan hati pengundi namun tidak sesekali berkempen dengan melakukan serangan peribadi terhadap calon lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tanggungjawab dan amanah sebagai calon akan dipikul sebaik mungkin dengan menyebarkan maklumat misi dan visi parti Pas untuk penyatuan ummah.

"Pada masa sama jentera parti lain diingatkan supaya tidak melakukan serangan peribadi ke atas setiap calon supaya pilihan raya Melaka menjadi contoh positif kepada rakyat," katanya kepada pemberita.

Jaafar berkata, respon daripada pengundi juga menyatakan bahawa mereka mahukan kestabilan politik dan menghentikan segera mainan politik terutama berbentuk serangan peribadi yang turut memberi kesan kepada mereka.

Dalam pada itu Jaafar berkata, beliau kecewa kerana terpaksa menentang calon dari Barisan Nasional (BN), Zahari Abd Kalil yang sebelum ini merupakan rakan Pas dalam Perikatan Nasional.

"Saya sebenarnya masih kecewa," katanya yang berikrar akan bekerja keras untuk menawan hati rakyat di kawasan ditandingi tersebut.

Pada masa sama beliau berkata, dalam usaha menawan hati pengundi, cara beliau berkempen tidak akan agresif hingga boleh melanggar prosedur operasi standard (SOP) berhubung pencegahan penularan Covid-19 kerana memahami harapan rakyat yang mahukan politik matang dan calon yang dipilih mereka boleh bekerja dengan cemerlang.

Sehubungan itu beliau yang merupakan anak tempatan Bukit Tambun Durian Tunggal mahu memberi dua fokus utama iaitu isu banjir yang tidak nampak jalan penyelesaian setakat ini dan masalah kesesakan di pekan Durian Tunggal.

Artikel Berkaitan:

"Kesesakan yang berlaku bukan sahaja pada hari minggu namun pada waktu puncak iaitu pagi dan petang. Masalah ini antara keluhan rakyat saya akan beri perhatian kepada masalah ini jika saya menang," katanya.

Jaafar menghadapi pertandingan empat penjuru iaitu Zahari dari BN; Datuk Sofi Wahab dari Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas, Erfan Mahrilar.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my