Eksport getah Malaysia meningkat 5.3 peratus pada September

Eksport getah asli Malaysia meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada 62,332 tan metrik pada September 2021 berbanding 59,172 tan metrik pada Ogos 2021.
Eksport getah asli Malaysia meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada 62,332 tan metrik pada September 2021 berbanding 59,172 tan metrik pada Ogos 2021.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Eksport getah asli Malaysia meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada 62,332 tan metrik pada September 2021 berbanding 59,172 tan metrik pada Ogos 2021, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 46.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada September 2021, diikuti Amerika Syarikat (13.1 peratus), Jerman (4.3 peratus), Pakistan (2.5 peratus) dan Finland (2.1 peratus).

“Prestasi eksport produk getah negara disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM3.1 billion pada September 2021, menurun sebanyak 2.2 peratus berbanding Ogos 2021 pada RM3.8 billion,” kata beliau.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, pengeluaran getah asli menurun 4.1 peratus kepada 41,180 tan metrik pada September 2021 berbanding 42,942 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Pengeluaran tahun demi tahun turut menunjukkan penurunan sebanyak 10.8 peratus berbanding 46,187 tan metrik pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pengeluaran getah asli Malaysia pada September 2021 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 91.0 peratus berbanding sektor estet sebanyak 9.0 peratus.

Sementara itu, jumlah stok getah asli meningkat 2.0 peratus pada September 2021 kepada 292,271 tan metrik berbanding 286,653 tan metrik pada Ogos 2021, katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, kilang pemprosesan getah menyumbang sebanyak 92.0 peratus daripada stok diikuti kilang pengguna getah (7.9 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan sebanyak 4.8 peratus dari bulan ke bulan dengan harga pada September 2021 ialah 497.24 sen sekilogram berbanding Ogos 2021 pada 522.13 sen sekilogram.

“Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Standard Malaysia (SMR) yang turun antara 4.8 hingga 6.8 peratus,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, prestasi pertumbuhan pengeluaran getah asli Malaysia dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021 mencatatkan penurunan 4.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2020 (Januari-September 2021: 354,359 tan metrik, Januari-September 2020: 372,381 tan metrik).

Sementara itu, prestasi suku ketiga 2021 pula menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 47.5 peratus kepada 132,732 tan metrik berbanding 89,985 tan metrik pada suku kedua 2021, tambahnya. - Bernama