Sebahagian besar majikan masih gagal patuhi Akta 446

Awang Hashim
Awang Hashim
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebahagian besar majikan masih gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) apabila hasil penguatkuasaan mendapati hanya 50 peratus daripada 34,248 majikan yang diperiksa sejak Februari lepas hingga kini mematuhi akta itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, menerusi pemeriksaan itu sebanyak 1,169 kertas siasatan dibuka dan 796 daripadanya diberikan izin kompaun dengan tawaran berjumlah RM9.14 juta.

“Sehingga hari ini (Khamis) jumlah kompaun yang dibayar adalah RM2.4 juta manakala 134 kertas siasatan melibatkan kompaun berjumlah RM841,000 masih dalam proses siasatan.

“Kebanyakan majikan yang didapati tidak mematuhi Akta 446 itu adalah daripada sektor pengilangan dan pembuatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan empat buku panduan terbitan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di sini pada Khamis.

Kesemua buku panduan bagi memperluas pendidikan perburuhan kepada majikan dan pekerja itu adalah Panduan Penginapan Pekerja Akta 446, Pelan Strategik JTKSM 2021-2025, Handbook Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan Handbook Akta Agensi Pekerjaan Swasta (APS) 1981 (Akta 246).

Awang berkata, buku Panduan Penginapan Pekerja Akta 446 bertujuan membolehkan pemain industri termasuk majikan dan penyedia penginapan berpusat (CLQ) memahami piawaian penetapan penyediaan penginapan pekerja yang kondusif, selamat dan selesa.

Beliau berkata, penerbitan buku itu selari dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo bahawa kerajaan Malaysia akan terus memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia, dalam lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia bemula Selasa lepas.

"Buku panduan ini memberi perincian kepada majikan supaya mudah memahami perkara berkaitan prosedur dan dokumen yang diperlukan. Kita harap dengan penerbitan buku panduan ini, para majikan tidak lagi berdolak-dalik untuk memohon Perakuan Penginapan Pekerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelan Strategik JTKSM 2021-2025 pula merupakan manifesto jabatan itu dalam usaha meningkatkan keupayaan mengurus tadbir perburuhan negara dan memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada semua pihak berkepentingan secara dinamik dan pelbagai.

Handbook Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan Handbook Akta Agensi Pekerjaan Swasta (APS) 1981 (Akta 246) pula dilancarkan bagi kegunaan dalaman para pegawai JTKSM untuk mendapatkan panduan jelas dan seragam berhubung undang-undang utama yang dikuatkuasakan JTKSM selain dilengkapi tafsiran undang-undang, contoh kes mahkamah serta pekeliling berkaitan.

Sementara itu, Awang berkata, 11,435 aduan dengan kebanyakannya membabitkan majikan tidak membayar gaji diterima menerusi aplikasi 'Working for Workers' (WFW) sejak ia dilancarkan 3 Mei lepas.

Beliau berkata, para pekerja disaran membuat aduan melalui aplikasi tersebut jika berlaku ketidakadilan atau majikan mengambil kesempatan ketika pandemik Covid-19 dan perkara itu tidak sepatutnya terjadi kerana kerajaan melancarkan pelbagai program untuk melindungi majikan menerusi Program Subsidi Upah dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Mengenai perkembangan Perjanjian Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia, Awang berkata, perjanjian itu sedang didraf dan dijangka ditandatangani hujung tahun ini. - Bernama