Naik taraf laluan FT050 penting atasi kemalangan maut: Fadillah

Fadillah (tengah) menyempurnakan gimik pecah tanah untuk kerja menaik taraf Jalan FT050, Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang di Ayer Hitam pada Khamis. Turut sama, Ka Siong. - Foto Bernama
Fadillah (tengah) menyempurnakan gimik pecah tanah untuk kerja menaik taraf Jalan FT050, Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang di Ayer Hitam pada Khamis. Turut sama, Ka Siong. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Projek menaik taraf laluan FT050 yang menghubungkan Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang adalah bersifat mendesak serta penting bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut dan parah di sepanjang jajaran ini, yang direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerja naik taraf yang turut merangkumi Seksyen 21 sehingga Seksyen 34.5 itu, telah mendapat peruntukkan sebanyak RM250 juta dari kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Beliau berkata, projek yang bermula 26 Oktober lepas dan dijangka siap pada 25 Oktober 2024 itu bermatlamat untuk mengurangkan kes kemalangan serta memastikan aliran trafik lebih lancar dan terkawal, selain memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

"Dari tahun 2015 sehingga 2020 terdapat 405 kemalangan dengan 227 kemalangan maut dicatatkan di laluan FT050 itu.

"Laluan yang menghubungkan Pekan Parit Raja ke Plaza Tol Ayer Hitam ini juga direkodkan sebagai laluan berkapasiti tinggi dan sering berlaku kesesakan teruk terutama pada musim cuti perayaan," kata beliau pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan surat setuju terima kontraktor dan pecah tanah berkaitan projek berkenaan, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri.

Fadillah berkata, projek menaik taraf laluan itu melibatkan pembinaan pembahagi jalan sepanjang 13.5 kilometer dengan tiga pusingan U untuk kenderaan berat dan pelebaran bahu jalan sedia ada dari jalan tunggal empat lorong kepada jalan berkembar empat lorong.

Turut dinaik taraf ialah lima persimpangan (Persimpangan Parit Sempadan, Pekan Parit Raja, Parit Botak, Pekan Ayer Hitam dan Bandar Baru Ayer Hitam), tiga jejantas baharu untuk pejalan kaki, dan laluan motosikal serta sistem perparitan dan pembentung sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Beliau seterusnya meminta pihak berkaitan untuk menyediakan saluran aduan bagi pengguna jalan yang ingin menyalurkan sebarang aduan dan cadangan ketika projek berkenaan berjalan.

"Kita akan wujudkan ruangan untuk mereka (pengguna jalan raya) buat aduan dan beri cadangan dalam memastikan projek menaik taraf ini dapat dilakukan dengan baik dan membolehkan pasukan ini berbincang untuk atasi sebarang kesulitan," katanya. - Bernama