Kisah warga emas miliki empat anak OKU dapat perhatian

Hanafiah (kanan) semasa melawat empat beradik yang lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf di Kampung Teluk Kalong pada Khamis. - Foto Bernama
Hanafiah (kanan) semasa melawat empat beradik yang lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf di Kampung Teluk Kalong pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KEMAMAN - Keperitan hidup warga emas, Rosanani Salleh bersama empat anak kurang upaya (OKU) yang sebelum ini dilaporkan Bernama, mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, keempat-empat beradik yang lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf itu, masing-masing akan menerima Bantuan Am Negeri sebanyak RM450 sebulan mulai Januari depan.

“Sebelum ini tiga daripada mereka (masing-masing) menerima bantuan RM300 sebulan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) manakala seorang lagi menerima pencen ilat Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

“Hari ini setelah berbincang dengan pihak JKM, saya syorkan dan terus meluluskan Bantuan Am Negeri sebanyak RM450 sebulan bagi keempat-empat anak Makcik Rosanani. Jadi jumlah keseluruhan adalah RM1,800 dan kami harapkan jumlah itu dapat menampung perbelanjaan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Rosanani di Kampung Teluk Kalong, di sini pada Khamis.

Pada Selasa Bernama melaporkan Rosanani, 62, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penjual lemang terpaksa menguruskan anak keduanya Mohd Amerizam Razali, 42; anak kelima Mohd Marsudi, 36; dan anak keenam Mohd Aismuddin, 33; yang memerlukan penjagaan rapi.

Anak sulungnya Rozanariah, 43, yang turut menghidap penyakit sama tinggal berasingan memandangkan beliau telah berkahwin dan dijaga oleh suami serta tujuh anaknya yang berumur antara 20 hingga lima tahun.

Dalam pada itu Hanafiah berkata, kerajaan negeri juga akan membekalkan lampin pakai buang di bawah peruntukan Tabung Darul Iman untuk kegunaan adik-beradik tersebut selama mana mereka memerlukannya.

Hanafiah turut menyeru ibu bapa di negeri ini yang mempunyai anak OKU supaya tidak berdiam diri dan melaporkan kepada pihak berkaitan termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung bagi membolehkan mereka menerima bantuan sewajarnya sama ada daripada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin berkata, pihaknya juga akan mengesyorkan adik-beradik tersebut menerima bantuan sara hidup secara ‘one-off’ antara RM1,000 hingga RM3,000 setahun.

“Ibu mereka (Rosanani) pula kami akan naikkan bantuan bulanan MAIDAM yang diterimanya sejak 2016 daripada RM400 kepada RM500 selepas ini. MAIDAM juga hari ini menyumbangkan sebuah kerusi roda fleksibel untuk kegunaan Mohd Marsudi,” katanya ketika dihubungi. - Bernama