Kedah lulus RM2.07 juta baiki infrastruktur rosak akibat banjir

 Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.07 juta untuk membaiki infrastruktur yang rosak akibat banjir di beberapa daerah di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan yang diluluskan pada Rabu itu bagi membolehkan infrastruktur penting diperbaiki terlebih dahulu demi kemudahan rakyat.

"Kita perbaiki perkara penting-penting dahulu yang ada dalam bidang kuasa negeri. Sebagai contohnya, jika ada titi yang rosak atau jalan raya terputus akibat banjir, kita akan perbaiki dengan segera.

"Perkara lain kita akan tunggu air surut dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Executive Talk Perundangan Perancangan di Hotel Raia di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah telah diarahkan dibuka sebagai persediaan awal berdepan sebarang kemungkinan.

Ketika diminta mengulas mengenai kejadian 'banjir termenung' di daerah Pendang yang berlarutan sejak hampir tiga minggu lalu, beliau berkata, kejadian itu disebabkan fenomena air pasang besar.

Menurutnya, banjir melanda daerah Pendang disebabkan air pasang besar dan mungkin kesan rancangan tebatan banjir (RTB) yang belum dapat disiapkan sepenuhnya.

"Keadaan itu menyebabkan aliran air tidak berjalan lancar. Kita berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuka cadangan baharu untuk menyelesaikan isu ini," kata beliau.

Artikel Berkaitan: