Seludup heroin RM1.9 juta dalam kotak ikan kerapu

Razarudin ( kanan) menunjukkan rampasan heroin sindiket dadah antarabangsa pada sidang akhbar di IPK Johor pada Khamis.
Razarudin ( kanan) menunjukkan rampasan heroin sindiket dadah antarabangsa pada sidang akhbar di IPK Johor pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan licik sindiket dadah antarabangsa menyembunyikan 20.14 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai RM1.9 juta di dalam kotak polisterin berisi ikan kerapu sejuk beku untuk dieksport ke Hong Kong terbongkar selepas 12 individu ditahan di Selangor dan Johor pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, operasi itu dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor.

Katanya, kesemua suspek terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 36 hingga 53 tahun itu ditahan menerusi serbuan di Kajang Selangor, Gelang Patah dan Pekan Nenas, Johor.

"Sindiket dadah antarabangsa ini menggunakan modus operasi, meletakkan bungkusan dadah seberat 270 hingga 275 gram di antara ikan sejuk beku dengan ais kering di dalam kotak polisterin untuk dihantar ke Hong Kong menerusi perkhidmatan kargo sebuah syarikat penerbangan.

Heroin dalam kotak berisi kerapu sejuk beku.
Heroin dalam kotak berisi kerapu sejuk beku.

"Polis percaya sindiket dadah ini membawa masuk bekalan dadah ini dari negara jiran di utara tanah air sebelum diseludup masuk ke dalam negara sebelum dibungkus di sebuah rumah di Pekan Nenas, Pontian.

"Heroin yang dibungkus kemudian dimasukkan dalam kotak polisterin berisi ikan kerapu berkenaan sebelum dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, untuk diseludup ke Hong Kong," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Artikel Berkaitan:

Razarudin berkata, siasatan awal mendapati sindiket yang beroperasi sejak hujung tahun lalu ini sudah berjaya melakukan lapan penghantaran heroin ke Hong Kong menggunakan modus operandi sama.

Heroin dalam bungkusan kecil dianggarkan seberat RM20.41 kg dirampas dari sindiket dadah antarabangsa.
Heroin dalam bungkusan kecil dianggarkan seberat RM20.41 kg dirampas dari sindiket dadah antarabangsa.

"Hasil risikan, polis percaya sindiket di Australia turut 'meminati' dadah yang diseludup ke Hong Kong. Namun hasil daripada kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak berkuasa Hong Kong, sindiket dadah antarabangsa ini berjaya ditumpaskan.

"Sebelum itu pada 26 Oktober lalu, pihak berkuasa Hong Kong memintas penghantaran heroin dipercayai dari sindiket sama. Heroin dihantar itu dianggarkan bernilai lebih daripada RM3juta," katanya.

Menurut Razarudin, tujuh suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala dua lagi suspek dipercayai ahli kongsi gelap yang masih aktif di Johor.

Kereta mewah sindiket dadah antarabangsa yang dirampas.
Kereta mewah sindiket dadah antarabangsa yang dirampas.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya ( pelucutan hak harta) 1988 di mana JSJN telah menyita pelbagai aset iaitu kereta mewah, wang tunai, jam tangan, wang di dalam akaun dan barang kemas dianggarkan bernilai RM710,851," katanya.