X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Kuala Kubu diisytihar sebagai Wilayah CFS Selangor

Amirudin menanam pokok selepas menyempurnakan majlis perasmian.
A
A

HULU SELANGOR - Kuala Kubu Bharu diisytiharkan sebagai Wilayah Central Forest Spine (CFS) sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor pada Khamis.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Hulu Selangor merupakan antara daerah yang mempunyai kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) paling luas iaitu kira-kira 47 peratus daripada keluasan tanah daerah.

Beliau berkata, kawasan HSK di daerah berkenaan bersambung dengan Banjaran Titiwangsa iaitu berhampiran Perak dan Pahang menyebabkan Kuala Kubu Bharu wajar disytiharkan sebagai CFS bagi Selangor.

"Bagi menunjukkan keprihatinan dan komitmen tinggi daripada Kerajaan Selangor, Rancangan Pengurusan CFS 2020-2029 ini telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 15 Mei 2019.

"Antara perkara diluluskan MMKN (Selangor) ialah pembentukan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal CFS Peringkat Negeri Selangor," katanya di majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa dan Majlis Pengisytiharan CFS Peringkat Negeri Selangor di Kuala Kubu di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dan Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid serta exco kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata, MMKN meluluskan pewartaan Bandar Kuala Kubu Baru sebagai Bandar CFS manakala Felda Soeharto, Felda Gedangsa dan Felda Sg Tengi pula sebagai Sahabat CFS di Negeri Selangor serta penggunaan Harimau Kumbang sebagai ikon CFS.

Menurutnya, komitmen dan sokongan daripada semua agensi teknikal terutama Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah Daerah berkaitan, [email protected]

Selain itu, pihak berkuasa tempatan berkaitan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta pemegang taruh terlibat dalam jajaran koridor CFS.

Beliau berkata, peruntukan kewangan RM60 juta bagi tempoh 10 tahun untuk pelaksanaan segala aktiviti di dalam Rancangan Pengurusan CFS Negeri Selangor tertakluk kepada perincian permohonan jabatan terbabit turut diluluskan.

"Adalah diharapkan rancangan holistik ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak khususnya untuk pelaksanaan projek CFS di negeri Selangor ini," katanya.

Untuk rekod, program CFS adalah satu inisiatif di peringkat kebangsaan berdasarkan Rancangan Fizikal Negara Kedua dan melibatkan pelaksanaan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Selangor.

Umumnya, kawasan CFS ini diwujudkan bagi mengekalkan kawasan berhutan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti menerusi penyambungan empat kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia iaitu Banjaran Titiwangsa, Banjaran Bintang - Banjaran Nakawan, Taman Negara Banjaran Timur, Tanah Lembap Pahang Tenggara, Tasik Chini dan Tasik Bera dan Taman Negara Endau Rompin Rezab Hidupan Liar Kluang.

Bagi maksud tersebut, satu Pelan Induk Koridor Ekologi CFS dihasilkan di peringkat Persekutuan pada tahun 2010 sebagai panduan pelaksanaan di negeri-negeri terlibat.

Dalam konteks CFS di Selangor, hanya satu koridor Secondary Linkages terlibat iaitu CFS S2:SL3 dan koridor ekologi CFS ini merangkumi HSK Raja Musa, HSK Bukit Tarek dan HSK Gading.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!