JPJ Negeri Sembilan kesan lori diubah suai bawa lebih muatan

Hanif (tengah) semasa melakukan pemeriksaan di Nilai Impian pada Khamis.
Hanif (tengah) semasa melakukan pemeriksaan di Nilai Impian pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Pengubahsuaian pada kenderaan berat untuk membawa lebih muatan antara kesalahan dikesan dalam Ops Tutup Khas dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, pada Khamis.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, strategi berkenaan digunakan oleh pihak syarikat untuk mengelak daripada pihak berkuasa dan kesalahan melibatkan lebih muatan antara tertinggi dikesan iaitu sebanyak 6,972 kes.

Katanya, operasi dilakukan itu bagi memastikan setiap kenderaan perdagangan atau kenderaan berat mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Hasil operasi pada kali ini, kami dapat mengesan antara strategi digunakan adalah melakukan penambahan dan pengubahsuaian pada lori, bagi membawa muatan melebihi had ditetapkan.

"Jika dilihat pada mata kasar, tiada masalah dengan muatan dibawa, malah ia ditutup rapi dengan kain, tetapi jika diperiksa dengan teliti, boleh nampak bahagian atas badan lori yang ditambah, bagi membawa muatan lebih banyak untuk mengurangkan kos pengangkutan.

Hanif menunjukkan penambahan di badan lori muatan bahan binaan yang dikesan melalui Ops Tutup Khas sekitar Nilai Impian pada Khamis.
Hanif menunjukkan penambahan di badan lori muatan bahan binaan yang dikesan melalui Ops Tutup Khas sekitar Nilai Impian pada Khamis.

"Tindakan sebegini bukan hanya akan membahayakan pemandu itu sendiri, sebaliknya pengguna jalan raya lain berdepan risiko ancaman bahaya ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pemeriksaan Ops Tutup Khas di sekitar Nilai Impian pada Khamis.

Dalam pada itu, Hanif memberitahu sebanyak 39,692 kenderaan berat telah diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 25,150 pelbagai kesalahan dikesan sepanjang Januari hingga Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kesalahan melibatkan lebih muatan adalah antara tertinggi dikesan iaitu sebanyak 6,972 kes diikuti kesalahan teknikal sebanyak 6,799 kes.

"Kami mengeluarkan sebanyak 16,348 notis saman mengikut Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala sebanyak 2,897 Notis Arah Timbang, turut dikeluarkan kepada kenderaan didapati melakukan kesalahan membawa lebih muatan," katanya.

Bagi kesalahan membawa lebih muatan mereka akan didakwa di bawah Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum denda di bawah Seksyen 57(3) akta yang sama iaitu tidak kurang dari RM1,000 atau tidak lebih RM500,000.

"Walaupun pihak kami terima ancaman daripada geng tonto semasa melakukan penguatkuasaan, tetapi JPJ Negeri Sembilan tidak gentar, malah akan terus melakukan operasi seperti ini bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.