X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Selangor peruntuk RM25.6 juta atasi banjir kilat

IZHAM
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor meluluskan peruntukan sebanyak RM25.6 juta bagi pelaksanaan 35 perolehan kerja di lokasi 'hotspot' banjir di negeri ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kerja-kerja tersebut akan bermula Disember ini dan dijangka siap secara berperingkat pada April 2022.

Beliau berkata, 35 perolehan kerja itu melibatkan kerja pengorekan dan mendalamkan sungai, pembinaan dan naik taraf ban, pengorekan kolam takungan, pemasangan pam serta penguatkuasaan termasuk perobohan struktur haram di rizab sungai.

"Selain itu, projek membina Kolam Takungan Bluewater, Seri Kembangan yang kini reka bentuknya telah siap dengan anggaran kos sebanyak RM4 juta.

"Juga akan dilaksanakan ialah projek Kolam Takungan Banjir di Lebuhraya Grand Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja yang reka bentuknya telah siap dengan kos sebanyak RM10 juta. Kos itu telah diluluskan di bawah Peruntukan Pembangunan Negeri P13 RMK12," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor

juga sudah memohon kepada kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sebanyak RM1.35 bilion bagi penyelesaian banjir secara holistik.

"Ia melibatkan lima projek rancangan tebatan banjir (RTB) di Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar bagi kawasan Meru, Klang; RTB Sungai Langat Fasa 2 untuk Sepang; Hulu Langat dan Kuala Langat ; RTB Sungai Buloh Fasa 2 bagi kawasan Petaling dan Kuala Selangor; RTB Anak Sungai Udang Fasa 2 bagi kawasan Selayang, Gombak; dan RTB Sungai Kundang bagi kawasan Bandar Baru Kundang, Rawang," jelas beliau.

Pada sidang akhbar itu, Izham turut memaklumkan bahawa JPS Selangor telah mengenal pasti sebanyak 50 kawasan 'hotspot' banjir di negeri ini yang perlu diambil tindakan segera.

Beliau berkata, antara kawasan yang telah dikenal pasti ialah Taman Mesra, sekitar Seksyen 13 Shah Alam, Taman Sri Muda, Taman Meru Daya dan sekitarnya, Kampung Giching atau Kampung Salak Tinggi dan Selayang Baru.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!