Covid-19: 6,323 kes baharu direkodkan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes baharu positif Covid-19 terus menunjukkan trend peningkatan sejak Isnin lalu.

Terbaharu, sebanyak 6,323 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis, menjadikan jumlah terkumpul, 2,528,821 kes.

Pada Isnin, negara merekodkan sebanyak 4,543 kes jangkitan diikuti Selasa (5,403) dan Rabu (6,243).

Peningkatan itu susulan orang ramai melakukan pergerakan dan rentas negeri sempena cuti Deepavali minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 25 kes import dikesan dalam jumlah kes baharu yang dilaporkan.

Menurutnya, ia membabitkan 14 rakyat tempatan dan 11 warga asing.

"Terdapat 6,298 kes penularan dalam negara direkodkan yang mana majoritinya, 96.7 peratus atau 6,072 kes adalah rakyat tempatan.

"Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan juga, sebanyak 6,226 kes atau 98.5 peratus adalah kategori satu dan dua, manakala selebihnya 97 kes atau 1.5 peratus terdiri daripada kategori tiga hingga lima," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terdapat 538 kes dirawat di unit rawatan rapi dan 274 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"KKM juga merekodkan 5,337 kes sembuh dengan keseluruhan kes adalah 2,435,459," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, empat lagi kluster baharu positif Covid-19 turut dikenalpasti.

"Ia melibatkan tiga kluster tempat kerja di Selangor, Johor dan Pahang, manakala satu kluster pendidikan lain di Kuala Lumpur.

"Jumlah keseluruhan kluster adalah 5,828 dan 5,540 daripadanya telah diisytiharkan tamat, manakala 288 lagi masih aktif," katanya.