Kak Som mahu selesai isu banjir, sampah di Pengkalan Batu

Kalsom (kanan) bersarapan bersama rakan sekolah beliau di Bukit Piatu. - Foto Bernama
Kalsom (kanan) bersarapan bersama rakan sekolah beliau di Bukit Piatu. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Isu banjir dan masalah pelupusan sampah menjadi antara perkara yang akan diberi perhatian calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin jika diberi mandat oleh pengundi kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Kalsom atau mahu dikenali sebagai ‘Kak Som’ berkata, aspek lain yang akan diberi perhatian ialah pembangunan fasiliti sukan dan pusat sehenti belia bagi memberi ruang kepada golongan itu untuk turut sama membangunkan Pengkalan Batu.

“Saya juga akan memberikan perhatian kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat dan menggerakkan agenda pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk Pengkalan Batu,” katanya dalam ceramah yang disiarkan menerusi laman Facebook BN COMMS di sini.

Kalsom, 68, yang pertama kali bertanding merupakan calon tertua dalam PRN Melaka, yang dipertaruhkan oleh BN dengan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara beliau, Muhamad Danish Zainudin (Pakatan Harapan), Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) di DUN Pengkalan Batu.

Ketua Wanita UMNO Hang Tuah Jaya itu antara lima calon wanita dipertaruhkan BN bersama Tuminah Kadi yang bertanding di kawasan Pantai Kundor, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Rim), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai) dan Leong Hui Ying (Kesidang). - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan: