Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan naik antara 0.1 dan 2.3 peratus

Kenaikan harga bahan binaan termasuk simen, keluli dan bahan besi disebabkan oleh kenaikan harga arang batu dan produk petroleum di peringkat global.
Kenaikan harga bahan binaan termasuk simen, keluli dan bahan besi disebabkan oleh kenaikan harga arang batu dan produk petroleum di peringkat global.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli) meningkat pada Oktober 2021 dengan kenaikan antara 0.1 dan 2.3 peratus di Semenanjung Malaysia.

Dalam kenyataan pada Khamis, Jabatan Perangkaan berkata, IKB berkenaan turut meningkat di Sabah iaitu antara 0.1 dan 2.1 peratus, dan Sarawak (antara 0.1 dan 1.5 peratus).

Harga besi menunjukkan peningkatan pada bulan berkenaan dengan Perak mencatatkan kenaikan tertinggi pada 3.4 peratus, diikuti Sandakan (2.7 peratus), Miri (2.6 peratus), Selangor dan Kuala Lumpur (2.2 peratus), Sibu (0.5 peratus) dan Kuching (0.1 peratus).

Sementara itu, Pahang menunjukkan peningkatan tertinggi harga simen dengan kenaikan sebanyak 2.0 peratus, diikuti Perak (1.2 peratus).

Keratan keluli dan logam bagi Miri dan Sandakan turut meningkat masing-masing sebanyak 3.3 peratus dan 2.3 peratus.

“Kenaikan harga bahan binaan termasuk simen, keluli dan bahan besi adalah disebabkan oleh kenaikan harga arang batu dan produk petroleum di peringkat global.

“Harga bahan binaan adalah lebih mahal selepas aktiviti pembinaan disambung semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan pada Jun 2021 dan empat fasa Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Kerajaan telah mengumumkan semua aktiviti berkaitan sektor pembinaan telah dibenarkan dibuka pada 22 Oktober 2021.

Artikel Berkaitan:

“Susulan kenaikan harga bahan binaan terutamanya besi dan simen, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) mencadangkan Kementerian Kewangan melanjutkan Syarat Perubahan Harga sehingga tahun hadapan bagi memastikan projek kerajaan tidak terjejas dan boleh disiapkan mengikut jadual yang telah dirancang,” menurut Jabatan Perangkaan. - Bernama