Calon Bebas dakwa ditawar sesuatu 'menarik' jika tarik diri

Hantaran di media sosial, Facebook yang meminta agar calon Bebas itu tidak diganggu untuk bertanding pada PRN.
Hantaran di media sosial, Facebook yang meminta agar calon Bebas itu tidak diganggu untuk bertanding pada PRN.
A
A
A

JASIN - Seorang calon Bebas mendakwa ditawarkan 'sesuatu menarik' sekiranya beliau menarik diri bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Mohd Akhir Ayob yang juga bekas Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) DUN Asahan berkata, setakat ini pendiriannya tidak akan berubah dan kekal untuk bertanding biarpun perlu berdepan dengan pertembungan enam penjuru termasuk bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Menurutnya, individu yang tidak dikenali itu menghubunginya dan mahu berjumpa di kediamannya bagi berbincang mengenai perkara itu.

"Ketika itu saya sedang berjumpa penduduk dan saya minta dia tak libatkan isteri serta anak saya...dia kata akan tawarkan sesuatu menarik.

"Individu itu kemudiannya memaklumkan dia akan hubungi saya semula. Saya juga nak tahu siapa individu tersebut namun gagal kerana lelaki terbabit dipercayai menggunakan nombor telefon peribadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Mohd Akhir Ayob
Mohd Akhir Ayob

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakannya menjadi calon di pentas PRN ini atas permintaan rakyat yang mahu dirinya terus berkhidmat di kawasan itu.

"Saya tidak menjanjikan apa-apa kepada rakyat, namun saya tekad berusaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat jika menang.

Artikel Berkaitan:

"Terutama sekali dari segi infrastruktur dan saya bukanlah dari wakil parti politik, sebaliknya berani bertanding dengan wang ringgit saya sendiri kerana rakyat," ujarnya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerusi Asahan disandang oleh Datuk Seri Abdul Abdul Ghafar Atan dari BN dengan majoriti 275 undi.

Kerusi DUN Asahan menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan Fairul Nizam Roslan (BN), Danesh Basil (PN), Datuk Seri Idris Haron (PH) dan tiga calon bebas iaitu Mohd Noor Salleh, Azmar Abdul Hamid dan Mohd Akhir Ayob.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my