Pesawah tertekan harga racun naik dua kali ganda

Pesawah mengharapkan kerajaan memberikan perhatian kepada kenaikan harga racun yang meningkat mendadak di pasaran, sekali gus membebankan golongan petani.
Pesawah mengharapkan kerajaan memberikan perhatian kepada kenaikan harga racun yang meningkat mendadak di pasaran, sekali gus membebankan golongan petani.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) memohon kerajaan memantau secara serius kenaikan harga racun rumpai yang meningkat dua kali ganda sehingga membebankan golongan pesawah.

Pengerusi Pesawah, Mohd Fuad Yaacob berkata, pihaknya menerima rungutan daripada golongan tersebut dan kenaikan harga dikesan berlaku sejak pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada pertengahan tahun ini.

Menurutnya, pesawah perlu membeli racun tambahan di pasaran bagi mengatasi masalah rumput dan rumpai kerana racun subsidi yang dibekalkan kerajaan masih tidak mencukupi.

"Pesawah berharap kerajaan memandang serius masalah kenaikan harga racun rumpai di pasaran yang dihadapi oleh petani kerana kos meningkat ini ditanggung sendiri oleh mereka.

"Penjual mendakwa mereka tidak dapat menghalang kenaikan harga disebabkan oleh bahan-bahan membuat racun yang diimport dari luar negara telah meningkat selain faktor kelemahan mata wang," katanya ditemui pemberita di Kampung Padang Hang di sini pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Fuad turut mencadangkan kepada kerajaan agar meningkatkan bantuan kepada pesawah daripada RM360 kepada RM500 setiap tan metrik bagi setiap padi bersih bagi membantu semua pesawah di seluruh negara.

Menurutnya, pihaknya percaya harga racun yang meningkat dengan drastik tersebut akan menambah beban pesawah pada musim penanaman padi kali ini sekiranya kerajaan tidak mencari alternatif untuk membantu.

"Kedah sebagai antara jelapang padi negara perlu diberikan perhatian oleh kerajaan. Bantuan kepada pesawah perlu ditingkatkan jika mahu pengeluaran padi untuk bekalan makanan tidak terjejas pada masa hadapan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seorang pesawah, Hashim Ismail, 66, dari Kampung Besar mengakui tertekan dengan kenaikan harga racun tersebut.

Bagaimanapun, katanya, racun masih perlu dibeli agar tanaman padi yang diusahakan membuahkan hasil yang baik.

"Saya mengusahakan kira-kira empat hektar tanaman padi dan memerlukan kira-kira lapan liter bersamaan dua tong racun racun. Sebelum ini, harga satu tong racun empat liter bernilai RM45 tetapi kini sudah meningkat kepada RM90.

"Racun perlu dibeli bagi mengatasi masalah seperti rumput rumpai sekiranya mahu tanaman padi memberikan pulangan hasil yang baik," katanya.

Seorang lagi pesawah, Salleh Harun, 68, dari Kampung Tok Pulau yang mengusahakan satu hektar tanaman padi berkata, kos bagi mengusahakan kira-kira satu hektar dengan bantuan subsidi kerajaan kini sudah meningkat daripada RM100 kepada RM160.

"Walaupun ada bantuan racun dan baja daripada kerajaan, namun pesawah masih perlu membeli racun dan baja tambahan. Kenaikan harga racun ini memang membebankan," katanya.