‘Zii Jia perlu dapatkan rehat secukupnya’

Zii Jia. - Foto badminton
Zii Jia. - Foto badminton
A
A
A

JAGUH badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia dinasihati mendapatkan rehat mencukupi sebelum menyertai kejohanan-kejohanan dalam masa terdekat.

Bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim berkata, berdasarkan kepada situasi terkini, kedudukan Zii Jia selaku pemain ranking nombor tujuh dunia selain berada pada kedudukan teratas bagi Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dilihat sudah cukup selamat baginya untuk menyertai Kejuaraan Dunia.

“Bagi saya, secara keseluruhannya, kedudukan Zii Jia pada hari ini sudah cukup baik bagi melayakkan dia beraksi pada Kejuaraan Dunia dan kalau lihat dari segi pungutan mata juga, kedudukan Zii Jia juga agak kukuh untuk mengesahkan slot.

“Cuma yang penting sekali di sini adalah untuk dia memberikan fokus untuk pulih daripada kecederaan belakang yang dialaminya ketika beraksi pada Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman baru-baru ini.

“Kita pun tidak tahu sejauh mana kecederaan itu sama ada serius atau tidak, cuma seeloknya Zii Jia perlu berehat bagi mendapatkan semula kecergasannya sebelum kembali beraksi semula,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Zii Jia mewakili Malaysia pada Piala Sudirman yang berlangsung dari 26 September hingga 3 Oktober, Piala Thomas (9-17 Oktober), Terbuka Denmark (19-24 Oktober), Terbuka Perancis (26-31 Oktober) dan Terbuka Hylo (2-7 November) kini berada pada kedudukan pertama dari segi kutipan mata Siri Jelajah BWF dengan 33,960 mata.

Berdasarkan jadual untuk Indonesia Masters di Bali yang dijadualkan berlangsung mulai 16 hingga 21 November, Zii Jia turut tersenarai bersama seorang lagi pemain perseorangan negara, Liew Darren.

Sementara itu, Roslin berkata, Zii Jia diharap tidak bimbang jika tidak beraksi pada kejohanan di Bali itu kerana ia tidak akan menjejaskan kedudukannya dalam siri jelajah dunia.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, sekiranya pemain yang berada pada kedudukan kedua, Viktor Axelsen dari Denmark atau Toma Junior Popov (Perancis) yang berada pada kedudukan ketiga, mencipta kejayaan pada kejohanan berkenaan, ia juga tidak menjejaskan kedudukan Zii Jia.

“Kedudukan Zii Jia telah selamat dan boleh kata sudah bersedia untuk siri jelajah dunia nanti. Cuma kini, dia perlu memberikan perhatian terhadap dirinya dengan mendapatkan rehat yang cukup,” katanya.