Kemiskinan antara penyebab gejala rasuah

Chan Ming Kai
Chan Ming Kai
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai tidak menolak kemungkinan kemiskinan dalam kalangan rakyat turut menjadi faktor gejala rasuah sukar dibendung.

Menurutnya, rakyat tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menerima atau mengambil rasuah walaupun menyedari ia adalah satu kesalahan.

Malah, mereka juga tidak berani untuk membetulkan kesalahan yang dilakukan itu kerana akan disabitkan bersalah sekiranya membuat laporan.

"Kemiskinan sememangnya turut memainkan peranan dalam kes rasuah. Contohnya, dulu ada satu isu berlaku membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR). Pemohon iaitu seorang ibu tunggal terpaksa memberikan habuan seks kepada pegawai tersebut untuk mendapatkan rumah itu.

"Selepas pemohon itu dapat rumah tersebut, dia tidak akan pergi lapor kepada SPRM kerana dari segi undang-undang apabila sudah berlaku tawaran dan tidak buat laporan maka dia juga yang bersalah.

"Ini yang akan memberikan masalah dan ini juga yang menyebabkan gejala rasuah ini boleh terus 'survive' sampai bila-bila," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Malaysia bebas rasuah: Berangan tak sudah? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.

Dalam program itu, beliau bergandingan bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong manakala Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Ming Kai turut menyifatkan satu cabaran besar untuk membawa negara bebas daripada rasuah namun optimis ia mampu dilakukan.

Beliau juga menegaskan sesuatu budaya yang sebelum ini diamalkan perlu diubah untuk menutup ruang seseorang melakukan rasuah.

"Apa yang saya maksudkan budaya ini adalah contohnya seperti penjawat awam yang terpaksa buat majlis dan terpaksa minta sumbangan daripada luar. Bagaimana hubungan mereka akhirnya dengan orang tersebut?

"Apa yang saya maksudkan ubah budaya ini adalah hentikan sambutan perayaan atau majlis dan sebagainya yang menelan belanja besar dan memerlukan sumbangan luar. Tetapi, adakah kita sanggup ubah budaya ini?

"Kita sudah biasa dengan budaya ini yang menyebabkan orang ada kuasa terpaksa berhubung dengan orang yang ada duit. Maka, bagaimana kita nak hentikan rasuah ini?" ujarnya.