X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Kelonggaran aktiviti sosial akan ditarik balik jika kes Covid-19 meningkat

Mastura ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik balik kelonggaran aktiviti sosial yang diberikan kepada rakyat, sekiranya angka Covid-19 meningkat selepas negara beralih ke fasa endemik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mastura Yazid berkata, apabila negara memasuki fasa endemik, kerajaan hanya akan menggunakan satu prosedur operasi standard (SOP) iaitu protokol kesihatan umum.

"Bagaimanapun jika terdapat kes mendadak dan meningkat, kerajaan melaksanakan langkah pencegahan dan memantau dengan sistem heightened alert yang mana hanya terdapat dua kategori dalam sistem ini iaitu tinggi atau rendah.

"Jika dilihat berisiko tinggi, kerajaan akan mengenakan sekatan aktiviti sosial, bukannya aktiviti ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) mengenai cadangan pelan baharu memandangkan ramai yang mula tidak menjaga SOP kerana bebas bergerak menjalankan aktiviti sosial, yang bakal menyaksikan kes COVID-19 boleh meningkat.

Mengulas lanjut, Mastura menjelaskan, SOP berkenaan akan diputuskan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan penilaian yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, dalam proses peralihan ke fasa endemik, ada beberapa indikator perlu dipenuhi sebelum usaha baharu diperkenalkan.

Katanya, indikator itu adalah kadar penggunaan katil keseluruhan mesti kurang daripada 30 peratus, wad rawatan rapi (ICU) kurang 10 peratus dan jumlah Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) kurang 30 peratus.

"Kapasiti makmal untuk menjalankan ujian pula perlulah melebihi 90 peratus, kadar positif dalam endemik mestilah kurang lima peratus, jumlah petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 mesti di tahap minimum iaitu kurang satu peratus, dan kadar kes Covid-19 yang teruk masuk ke wad perlu kurang daripada 0.5 peratus.

"Jumlah kematian purata tujuh hari pula disasarkan kurang daripada 0.8 peratus, dengan jumlah kematian harian kurang daripada 10 kes; insiden kes pula kurang 1,200 sehari dan vaksinasi perlu lebih 80 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) supaya Pelan Pemulihan Negara (PPN) dirombak semula mengikut situasi semasa dan norma baharu kerana ia dilihat gagal, Mastura berkata, keutamaan melalui PPN adalah memastikan penularan dapat dikawal dan rakyat selamat. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!