Perak FC rebah lagi di Ipoh

Antara aksi Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak, di sini dalam saingan Piala Malaysia. - Foto Twitter Selangor FC
Antara aksi Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak, di sini dalam saingan Piala Malaysia. - Foto Twitter Selangor FC
A
A
A

PERAK FC tewas 1-2 kepada Selangor pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dalam Saingan Piala Malaysia musim ini di Stadium Perak, di sini pada Selasa.

Keputusan itu juga sekaligus menyaksikan tuan rumah gagal mencipta sebarang kemenangan dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Pada minit awal permainan, permainan seimbang dengan kedua-dua pasukan masing-masing mengatur gerak.

Namun pasukan tuan rumah bernasib baik apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-10 menerusi Royizzat Daud yang menanduk masuk akibat kesilapan penjaga gol Selangor FC, Tauffiq Ar Rashid.

Tersentak dengan jaringan itu, pelawat mula mengatur gerak dengan melancarkan serangan ke kubu Perak.

Pada minit ke-17, penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri berpeluang menyamakan kedudukan tetapi tandukkannya sekadar singgah di palang gol.

Selang beberapa minit selepas itu, Shahrel Fikri sekali lagi mendapat peluang namun tendangannya berjaya ditepis penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim.

Tidak lama selepas itu, Jad Noureddine menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning pada perlawanan ini kerana menarik baju pemain Selangor.

Artikel Berkaitan:

Perak FC kemudian membuat pertukaran pemain pada minit ke-35 apabila Khairul Syafiq dimasukkan menggantikan Izzuddin Roslan yang mengalami kecederaan.

Menghampiri minit ke-40, tuan rumah memperoleh beberapa peluang menerusi Jad Noureddine dan Rafiuddin Rodin namun kedua-dua percubaan tersasar.

Kad kuning kedua perlawanan pula dilayangkan pengadil perlawanan, Mohd Rashidi Abdul Rahim ke atas pemain Perak FC yang baharu masuk iaitu Khairul Syafiq akibat kekasaran ke atas pemain lawan.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor membuat strategi baharu apabila melakukan tiga pertukaran sekaligus.

Percaturan Karsten Neitzel menampakkan hasil apabila Selangor FC menguasai minit awal permainan.

Selangor FC akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 menerusi Sean Selvaraj menjadikan kedudukan 1-1.

Pada minit ke-85, Selangor FC menambah jaringan menerusi Wan Zack Haikal melalui sepakan percuma menewaskan Hafizul Hakim.

Keputusan 1-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam saingan kumpulan B itu, Perak kekal di tangga tercorot selepas hanya memperoleh 1 mata.