Antara, Bernama tingkat perkongsian berita pelbagai platform media

MoU ditandatangani di sebuah hotel di sini disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam lawatan rasmi ke Indonesia. - Foto Bernama
MoU ditandatangani di sebuah hotel di sini disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam lawatan rasmi ke Indonesia. - Foto Bernama
A
A
A

JAKARTA - Agensi berita rasmi Malaysia dan Indonesia pada Rabu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mempertingkatkan perkongsian berita dan maklumat menerusi pelbagai platform media.

MoU antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional Antara, mencakupi perkongsian program berita dan maklumat untuk penyiaran di televisyen dan media sosial.

Direktur Utama Antara, Meidyatama Suryodiningrat serta Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain menandatangani MoU itu di sebuah hotel di sini dan disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam lawatan rasmi ke Indonesia.

Mokhtar dalam satu kenyataan bersama berkata: “Perjanjian ini akan menjadi pemangkin untuk Antara dan Bernama melangkah ke hadapan tanpa halangan dalam landskap media semasa yang mencabar dengan penggunaan teknologi yang meluas dalam pengumpulan dan penyaluran berita dan maklumat.

Pertukaran berita antara Antara dan Bernama terjalin sejak beberapa dekad lalu dan jika saya imbau kembali koresponden pertama Bernama di luar negara ditempatkan di Jakarta pada Oktober 1971. Ini menunjukkan ikatan setia kawan yang kami kongsi di dalam bidang ini.

Sementara itu, Suryodiningrat berkata, perjanjian hari ini (MoU) merupakan satu langkah ke hadapan dalam kerjasama antara Antara dan Bernama.

“Dengan ikhlas saya berharap kedua-dua agensi berita bekerjasama rapat dan mengukuhkan hubungan ini untuk kepentingan bersama di dalam pelbagai bidang.

Tambahan pula, saya percaya kedua-dua agensi berupaya untuk menghadapi cabaran sedia ada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerjasama ini dalam perkongsian berita dan maklumat juga mengukuhkan hubungan yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.

Antara dan Bernama menjalinkan hubungan lebih dari lima dekad lalu.

MoU yang ditandatangani itu akan mengukuhkan hubungan itu dan membawa kerjasama antara kedua-dua pihak kepada satu tahap baharu dalam perubahan landskap media di era digital.

Antara adalah agensi berita rasmi yang ditubuhkan pada 13 Disember 1937 di Jakarta dan menyediakan perkhidmatan berita kepada pelbagai organisasi media.

Ia mempunyai wartawan di seluruh Indonesia dan juga beberapa negara.

Pada 2020, Antara mengekalkan ISO 9001: 2015 yang mengesahkan jaminan kualiti produk kepada pelanggan.

Agensi berita itu menyalurkan produknya menerusi laman sesawang, media sosial dan rangkaian televisyen.

Antara menyediakan saluran berasaskan laman sesawang untuk semua berita terkini dalam pelbagai kategori 24 jam sehari.

Bernama ditubuhkan pada 20 Mei 1968 di bawah Akta Bernama 1967 dan beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Ia merupakan agensi berita rasmi yang menyalurkan berita dalam pelbagai platform termasuk Bernama TV, Bernama Radio dan rangkaian media sosial.- Bernama