Tiada halangan mahasiswa UiTM jadi calon pilihan raya

UiTM tidak menghalang mana-mana mahasiswanya untuk menjadi calon yang bertanding dalam pilihan raya kerana ia tidak berlawanan dengan akta universiti itu. - Gambar hiasan
UiTM tidak menghalang mana-mana mahasiswanya untuk menjadi calon yang bertanding dalam pilihan raya kerana ia tidak berlawanan dengan akta universiti itu. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak menghalang mana-mana mahasiswanya untuk menjadi calon yang bertanding dalam pilihan raya kerana ia tidak berlawanan dengan akta universiti itu.

Naib Canselor UiTM Profesor Dr Roziah Mohd Janor berkata, semakan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati Akta 173 UiTM membenarkan mahasiswa universiti itu berpolitik atau menjadi calon parti politik.

“Begitu juga sejak dua tahun lepas, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 juga telah diperbaiki dan dimurnikan... jadi, kita ikutlah,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penglibatan mahasiswi UiTM Farzana Hayani Mohd Nasir yang menjadi calon termuda Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai.

Roziah juga berkata, Farzana Hayani merupakan mahasiswi pertama dari UiTM yang terlibat sebagai calon dalam pilihan raya.

Ketua Srikandi Keadilan Melaka berusia 21 tahun itu merupakan antara calon wanita muda yang dipertaruh oleh Pakatan Harapan pada PRN Melaka.

Farzana Hayani merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda di UiTM Shah Alam serta lulusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media dari universiti sama. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:PRN Melaka: Farzana Hayani calon paling muda

ARTIKEL BERKAITAN:Farzana nafi berhenti belajar, yakin mampu bahagi masa