Zainal Abidin tuntut pemain kekal momentum

Antara aksi menarik perlawanan Melaka United menentang Kedah Darul Aman dalam aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia. - Foto Melaka United Football Club
Antara aksi menarik perlawanan Melaka United menentang Kedah Darul Aman dalam aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia. - Foto Melaka United Football Club
A
A
A

KEJAYAAN Melaka United FC menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 2-0 disifatkan hadiah ulang tahun kelahiran bermakna bagi pengendalinya Zainal Abidin Hassan yang mahu pemain mengekalkan momentum kemenangan dalam kempen Kumpulan C saingan Piala Malaysia.

Zainal Abidin menuntut anak buahnya mengelak daripada melakukan kesilapan mudah dan memanfaatkan sebaik-baiknya peluang di hadapan pintu gol untuk mara ke lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu selepas mengesahkan slot suku akhir penuh bergaya dengan mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pemain yang menghadiahkan kemenangan pada hari lahir saya hari ini (Selasa). Saya mahu mereka teruskan prestasi seperti ini kerana saya mahu bawa pasukan pergi lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia.

“Mereka perlu belajar daripada kesilapan lepas dan mengatasinya selain bijak mengambil peluang yang terhidang di hadapan pintu gol,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu pada malam Selasa.

Pada aksi di Stadium Hang Jebat itu, Melaka United membolosi gawang pasukan pelawat pada minit ke-24 menerusi pemain import dari Filipina Manuel Ott, sebelum pemain import dari Brazil, Giovane Gomes melengkapkan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah pada minit ke-89.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin mahu barisan pemainnya tidak terbuai dengan kejayaan aksi di peringkat kumpulan itu, sebaliknya terus fokus berdepan Sabah dalam saingan suku akhir di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad ini.

“Kita sudah hampir ke penghujung saingan Piala Malaysia. Saya harap pemain terus berdisiplin dan melipatgandakan usaha pada perlawanan akan datang,” katanya.

Sementara itu, pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak mahu anak buahnya menampilkan aksi lebih baik apabila bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan suku akhir, Ahad ini.

Artikel Berkaitan:

Biarpun berdepan pasukan hebat seperti JDT, beliau percaya dengan kemampuan barisan pemainnya untuk memberi tentangan terhadap skuad Harimau Selatan itu. - Bernama