PRN Melaka: PH umum 32 inisiatif bawah manifesto

Anwar (tengah) bersama barisan pimpinan tertinggi parti gabungan PH pada majlis pengumuman Pelan Tindakan - Maju Bersama Harapan, pada Rabu.
Anwar (tengah) bersama barisan pimpinan tertinggi parti gabungan PH pada majlis pengumuman Pelan Tindakan - Maju Bersama Harapan, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Penggubalan enakmen Anti Lompat Parti bagi menjamin kestabilan negeri Melaka antara inisiatif yang digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Pakatan Harapan (PH).

Manifesto dinamakan 'Pelan Tindakan - Maju Bersama Harapan' itu diumumkan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang menjadi calon tunggal Ketua Menteri jika gabungan itu menang dalam pilihan raya berkenaan.

Adly berkata, PH menggariskan 32 inisiatif merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi, usahawan dan negeri serta reformasi pentadbiran kerajaan Melaka.

Menurutnya, PH juga akan mengiktiraf kedudukan ketua pembangkang setaraf Exco kerajaan negeri.

"PH juga akan memberikan hak peruntukan tahunan setara kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti.

"Selain itu, PH akan mewajibkan setiap ADUN mengisytiharkan harta dan menjadikan amalan tender terbuka sebagai teras proses perolehan negeri.

"Pelaksanaan teras ini ditulis sebagai pelan tindakan kerana selepas mandat diperoleh, tugas utama PH Melaka ialah bertindak memastikan kesejahteraan, kemakmuran dan kestabilan politik negeri dapat dijayakan," katanya pada majlis pengumuman Pelan Tindakan - Maju Bersama Harapan di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, pelan berkenaan memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil.

Artikel Berkaitan:

"Melaka sejahtera, akan memberi fokus untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental daripada ancaman Covid-19 di samping meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

"Di bawah Melaka Makmur, kita akan wujudkan pekerjaan baharu dan merancakkan ekonomi manakala teras Melaka Stabil bertujuan melaksanakan reformasi pentadbiran untuk menjamin kerajaan yang stabil, adil, telus dan berintegriti," katanya.