Rakyat perlu tolak ahli politik guna kuasa kaut kekayaan: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

MELAKA - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat perlu menolak budaya yang menjadikan medan kuasa politik sebagai percaturan peribadi untuk mengaut kekayaan.

Sehubungan itu katanya, PH menawarkan sistem pentadbiran yang stabil dan bersih di negeri Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, perkara itu juga jelas telah dibuktikan berdasarkan prestasi awal yang dimulakan oleh kerajaan PH di bawah pimpinan yang adil selama 22 bulan setelah memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

"PH memohon kerjasama untuk memastikan masa depan Melaka yang lebih terjamin. Pimpinan yang diamanahkan bukan jadikan politik untuk kaya.

"Tidak boleh dinafikan rakyat kecewa dengan masalah politik di Melaka dan semua ahli politik terkena tempiasnya. Tetapi perlu adil dengan menolak ahli politik yang guna kuasa kaut keuntungan dari saham ke pasir, perkayakan keluarga dan kroni mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan 'Maju Bersama Harapan' di sini pada Rabu.

Beliau berkata, rakyat boleh memilih untuk terus kekal dengan sistem kepimpinan yang tercemar atau yang lebih terjamin di bawah PH.

"Rakyat terjerat masalah kemiskinan yang semakin teruk dan jurang semakin besar sedangkan barisan pemimpin gah dengan mempamerkan kekayaan yang luar biasa, termasuk yang hadir ke Melaka,"katanya.

PRN Melaka yang masuk hari ketiga berkempen menyaksikan BN dan PH membentangkan manifesto dan pelan pentadbiran yang ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dengan tempoh kempen selama 12 hari bermula Isnin lepas.