KPLB tekankan peningkatan penggunaan teknologi, internet luar bandar

Mahdzir ketika memberikan ucapan perasmian pada Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN yang diadakan pada Rabu.
Mahdzir ketika memberikan ucapan perasmian pada Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN yang diadakan pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memberi penekanan terhadap kepentingan bagi meningkatkan penggunaan internet dan teknologi digital di kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia bagi memastikan kelestarian dan ketahanan usahawan luar bandar dalam era pemulihan pasca Covid-19.

“Aktiviti keusahawanan luar bandar merupakan salah satu aktiviti utama yang dapat membantu membangunkan kawasan luar bandar.

“Ini mampu meningkatkan kualiti kehidupan bagi invidividu, keluarga dan komuniti di luar bandar,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN pada Rabu.

Forum anjuran KPLB itu dihadiri 100 peserta yang terdiri daripada pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan luar bandar dari negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga antaranya Singapura, Thailand, Cambodia, Filipina, Jepun, Republik Rakyat China serta Malaysia.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (Komuniti Sosio Budaya), Ekkaphab Phanthavong.

Phanthavong yang turut serta dalam Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN pada Rabu.
Phanthavong yang turut serta dalam Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN pada Rabu.

Menurut Mahdzir, menerusi forum tersebut, beliau turut menyatakan komitmen Malaysia dalam Kerangka Pelan Tindakan ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2021 hingga 2025.

Artikel Berkaitan:

“Forum ini bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik dan bertukar pandangan mengenai isu dan cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana luar bandar semasa pendemik Covid-19.

“Membincangkan hala tuju dan tindakan yang boleh diambil untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing perusahaan luar bandar pasca Covid-19.

“Hasil daripada forum ini boleh digunakan oleh negara-negara ASEAN untuk merangka pelan pembangunan usahawan luar bandar di negara masing-masing terutamanya yang berkaitan dengan teknologi digital,” ujarnya.

Antara topik lain dibincangkan adalah pembudayaan aktiviti keusahawanan luar bandar bagi peningkatan ekonomi luar bandar, adaptasi ekonomi digital dalam keusahawanan luar bandar ke arah pembangunan inklusif.

Selain itu, beberapa usahawan luar bandar turut berkongsi pengalaman mendepani cabaran Covid-19 dan langkah pemulihan yang diambil untuk meneruskan perniagaan.