Polis kesan empat lelaki bantu siasatan kes bunuh

Polis kesan empat lelaki bagi membantu siasat kes bunuh.
Polis kesan empat lelaki bagi membantu siasat kes bunuh.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesan empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki disyaki ah long di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi Klang di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Nik Faisal berkata, individu berkenaan ialah Low Chee Boon, 40, yang beralamat di Pelabuhan Klang; Lim Chee Hau, 39, Tan Kok Pin, 34 dan Yap Chin Hock, 58, masing-masing beralamat di Jenjarom.

Menurut beliau, polis sudah menahan enam lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes itu bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka ditahan reman sehingga Sabtu bagi membantu polis merungkai kejadian itu serta mengesan beberapa suspek lain," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan dalam kejadian pada jam 12.20 tengah hari, mangsa berusia 47 tahun itu sempat melarikan diri sebelum rebah dan maut di hadapan sebuah restoran.

Sebelum kejadian, mangsa bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia 10 dan 18 tahun telah pergi ke sebuah restoran itu untuk menikmati makanan kira-kira jam 11.50 pagi.

Selepas selesai makan, setengah jam kemudian tiga beranak itu berjalan kaki menuju ke sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire miliknya yang diparkir kira-kira 30 meter dari restoran itu.

Semasa mangsa hendak membuka pintu kereta, tiga lelaki bersenjatakan parang datang dari arah belakang dan dua daripada suspek kemudiannya terus menetak mangsa.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohamad Syahrir Zabidi ditalian 012-6650895.

ARTIKEL BERKAITAN:Lelaki dipercayai ah long maut ditetak

ARTIKEL BERKAITAN:Lelaki dipercayai tetak ah long sampai mati diberkas