MAFI lancar laman mikro pertanian lestari

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) melancarkan laman mikro baharu pada Selasa bersempena Minggu Pertanian Lestari yang bakal dilangsungkan di Pavilion Malaysia pada Ekspo 2020 Dubai mulai 20 hingga 26 Februari 2022.

Laman mikro baharu yang boleh diakses menerusi https://www.mafi-events.com itu menampilkan pengemaskinian, berita, program, pempamer, syarikat dan perkhidmatan berkaitan Pertanian Lestari pada minggu ke-21 ekspo tersebut yang akan dihoskan MAFI.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pembangunan laman mikro itu bertujuan bagi memudahkan pengguna untuk mendapatkan maklumat yang relevan dan meluas mengenai pertanian lestari di Malaysia.

“Ini kerana tidak semua pihak dapat menghadiri ekspo secara fizikal.

“Di samping itu, laman mikro ini merupakan medium penghubung perniagaan yang membolehkan pelawat berhubung dengan syarikat dan agensi yang terlibat dalam minggu Pertanian Lestari.

“Melalui laman mikro ini juga, kami berhasrat untuk menyebar luas, mendidik dan berkomunikasi dengan orang ramai di seluruh dunia bagi memacu pertanian lestari di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ronald (tengah) ketika bersama pada majlis pelancaran laman mikro MAFI pada Rabu.
Ronald (tengah) ketika bersama pada majlis pelancaran laman mikro MAFI pada Rabu.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika melancarkan laman mikro tersebut dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ronald berkata, menerusi kewujudan laman mikro tersebut, beliau turut menjangkakan penglibatan berterusan dan perkongsian strategik dapat dilaksanakan sepanjang penyertaan kementeriannya dalam Ekspo 2020 Dubai.

Pengguna laman mikro berpeluang mengakses maklumat setiap syarikat, risalah produk dan video bagi mengetahui lebih lanjut tentang penglibatan peserta dan syarikat-syarikat yang terlibat dalam minggu Pertanian Lestari pada Ekspo 2020 Dubai.

Laman mikro tersebut turut memberikan tumpuan kepada bidang pertanian kelestarian yang akan diketengahkan semasa ekspo tersebut, termasuklah kesejahteraan biodiversiti, pertanian dan penyelesaian bandar pintar serta kekayaan daripada sisa.

Pengguna juga boleh melibatkan diri dalam pemadanan perniagaan dan mengikuti program dianjurkan oleh MAFI sepanjang minggu ke-21 itu yang merangkumi demonstrasi produk dan masakan, ceramah serta program rangkaian.