Lebih RM6 juta produk kesihatan tidak berdaftar dirampas: KKM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) merampas ubat kuat tidak berdaftar bernilai RM5.8 juta menerusi serbuan di 666 premis di seluruh negara sejak 2019 hingga bulan ini.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim berkata, bagi tempoh sama juga, sebanyak 187 premis yang menjual suntikan vitamin C telah diserbu dengan nilai rampasan berjumlah RM278,202.

“Pihak KKM giat menjalankan pemeriksaan dan operasi serbuan secara berterusan terutamanya di lokasi hot spot yang dikenal pasti di seluruh negara bagi mengekang penjualan produk kesihatan tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C.

“Sejak 2019 hingga November 2021, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM telah menerima sebanyak 362 aduan daripada orang awam mengenai ubat kuat dan suntikan vitamin C,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau berkata, dakwaan laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang menggambarkan penjualan dan pengiklanan produk kesihatan dan ubat-ubatan di pasaran dibiarkan secara berleluasa tanpa diambil tindakan adalah tidak tepat.

“KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan produk-produk kesihatan dan ubat-ubatan yang dipasarkan di Malaysia berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dijual kepada orang awam,” katanya.

Norhaliza berkata, pihaknya juga telah meningkatkan pemantauan terhadap ubat tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C yang dijual dalam talian dan terdapat pengiklanan serta penjualan keluaran di platform e-dagang yang dijual diarah untuk diturunkan.

“Sebanyak 19,862 iklan produk telah dinotifikasi untuk diturunkan sejak tahun lepas hingga November 2021, manakala 1,665 bilangan pautan di media sosial dan platform e-dagang luar negara berkaitan ubat kuat dan suntikan vitamin C dimajukan kepada pentadbir platform bagi permohonan penurunan kandungan.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak 257 laman sesawang dimajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan,” katanya.

Beliau berkata, individu yang didapati bersalah menjual ubat tidak berdaftar boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun bagi kesalahan berikutnya.

Sementara bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikut di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. - Bernama