SOP kempen: Malaysia jadi negara paling pelik - Mat Sabu

Mohamad Sabu berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan 'Maju Bersama Harapan' di sini pada Rabu.
Mohamad Sabu berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan 'Maju Bersama Harapan' di sini pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Pengerusi PH, Mohamad Sabu secara berseloroh memaklumkan beliau sudah kekok untuk berucap gara-gara prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada PRN Melaka.

Beliau berkata, ketetapan SOP yang melarang sebarang penganjuran ceramah terbuka secara bersemuka oleh mana-mana parti juga menjadikan Malaysia kini menjadi negara paling pelik di dunia.

"Nak ceramah pun sudah tidak tahu. Pilihan raya tapi tidak boleh berceramah. Malaysia jadi negara paling pelik di dunia.

"(Calon) pergi kedai ikan bakar penuh dengan orang dibolehkan tapi nak ceramah depan lima orang tak boleh," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan 'Maju Bersama Harapan' di sini pada Rabu.

Pada Isnin, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka.

Bagaimanapun, berdasarkan SOP yang diumumkan, calon adalah dibenarkan untuk menggunakan kenderaan bergerak dengan pembesar suara dan juga mengedarkan risalah ke peti surat, untuk tujuan kempen.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Artikel Berkaitan: