Sila log masuk terlebih dahulu.

Ambil berat penjagaan kesihatan melibatkan diabetes: KP Kesihatan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR -- Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru rakyat Malaysia agar terus memainkan peranan dalam penjagaan kesihatan melibatkan penyakit diabetes meskipun negara masih dilanda penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, di Malaysia, satu daripada lima individu berusia 18 tahun ke atas dilaporkan menghidap diabetes pada 2019 tanpa pengetahuan mereka.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih kurang 463 juta orang dewasa di seluruh dunia penghidap penyakit diabetes pada 2019. Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2019) pada tahun sama di Malaysia mendapati satu daripada lima orang yang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes.

"Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada responden ini tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit diabetes. Pesakit diabetes juga berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi serius sekiranya dijangkiti Covid-19," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.

Bersempena sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 bertemakan 'Akses Kepada Penjagaan Diabetes: Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi?' hari ini, beliau berkata rakyat Malaysia perlu mengambil berat akan kesihatan mereka agar pencegahan awal terhadap penyakit berkenaan mampu dilakukan.

"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk mengambil berat tentang kesihatan masing-masing kerana kesihatan adalah milik dan tanggungjawab kita bersama. Kenali dan fahami faktor risiko, tanda dan gejala penyakit diabetes supaya pencegahan dan rawatan awal dapat dilakukan.

"Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala terutamanya apabila umur semakin meningkat dan mempunyai sejarah keluarga menghidap diabetes. Kebiasaannya orang ramai tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit diabetes sehingga menjalani pemeriksaan kesihatan atau menunjukkan tanda-tanda awal diabetes," katanya.

Antara komponen asas penjagaan diabetes turut dikongsikan ialah akses kepada rawatan ubat-ubatan dan insulin, pemantuan kendiri, pendidikan dan psikososial dan pemakanan sihat serta aktiviti fizikal.

Artikel Berkaitan:

Tema pada tahun ini juga bertepatan dengan 100 tahun penemuan insulin bagi merawat penyakit diabetes.

KKM juga menyeru agar semua anggota kesihatan, badan-badan berkanun, badan sukarelawan, universiti dan semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi mengurangkan risiko dan komplikasi penyakit diabetes. - Bernama