X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Shamsul Iskandar kempen pamer gambar pada lori

Lori memaparkan gambar Shamsul Iskandar dan Anwar Ibrahim yang melalui jalan berdekatan Taman Cheng Perdana, Melaka pada Rabu.
A
A

MELAKA - Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menggunakan pelbagai cara untuk memperkenalkan dirinya sebagai calon di kawasan itu termasuk menggunakan lori bergerak yang memaparkan gambarnya.

Shamsul Iskandar yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, lori yang memaparkan wajah beliau bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan berlegar-legar di kawasan kediaman penduduk dan lokasi tumpuan ramai.

Menurutnya, inisiatif itu dilakukan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan calon bertanding daripada bersemuka dengan pengundi.

"Lori ini akan berperanan sebagai siar raya untuk saya memperkenalkan diri sebagai calon DUN ini dan juga sebagai medan ceramah bergerak.

"Kita juga telah mendapat permit kebenaran polis untuk mengadakan ceramah dan akan menyusun jadual meneruskan kempen kita dalam norma baharu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, seperti calon lain beliau akan memberi fokus kepada tiga isu utama rakyat tempatan iaitu masalah banjir seperti di Kampung Krubong, masalah rangkaian telekomunikasi serta infrastruktur jalan tidak berturap.

"Bila hujan saya tengok masalah banjir tidak boleh selesai, saya akan memberi tumpuan kepada isu itu untuk diselesaikan.

"Liputan jalur lebar juga bukanlah rangkaian 5G, namun nak dapat 3G, 4G di sini pun susah," katanya.

Ujar beliau, mungkin juga wakil rakyat sebelum ini terlepas pandang berkenaan masalah penurapan jalan dan itu aduan yang disalurkan penduduk.

Shamsul Iskandar akan berdepan pertembungan lima penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin; calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Faris Izwan Mazlan; Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohamad Hasidi dan Mohd Jaini Dimon (Bebas).

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, penyandang kerusi itu Datuk Mohd Rafiq Naizamohiedeen menang dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 4,259 undi sekali gus menewaskan calon BN, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan calon Pas, Rafie Ahmad.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!