Sungai dicemari sisa ayam, babi

217576
A
A

JASIN - Sungai Chohong yang bersempadan dengan Tangkak, Johor sekali lagi tercemar hingga mengeluarkan bau yang meloyakan dipercayai akibat perlepasan sisa ayam dan babi berdekatan kawasan itu.

Sungai yang berwarna jernih sebelum ini tiba-tiba bertukar kehitaman selain terdapat pelbagai jenis ikan ditemui mati.

Penduduk, Rosmah Ismail, 52, berkata, sejak semalam dia mula menghidu bau kurang menyenangkan dari sungai terbabit yang terletak berhampiran dengan gerai makannya.

Menurutnya, ramai pelanggan yang mengadu dan berasa tidak selesa dengan keadaan itu.

Katanya, jika keadaan berterusan, dia bimbang akan kehilangan pelanggan, sekali gus menjejaskan perniagaannya itu.

"Gerai saya terletak betul-betul di tepi sungai yang menjadi sempadan Melaka dan Johor.

"Saya tak tahan sampai loya tekak terutamanya jika angin bertiup membawa bau busuk itu," katanya.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Jasin Prebet (PA), Asyraf Mislan,22, menunjukkan air yang kehitaman sejak semalam.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Jasin Prebet (PA), Asyraf Mislan,22, menunjukkan air yang kehitaman sejak semalam.

Difahamkan, kira-kira sepanjang 11 kilometer Sungai Chohong telah dicemari dengan kepekatan air berwarna hitam datang dari hulu sungai.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew mendakwa, pihaknya telah mengenal pasti punca berlakunya pencemaran itu yang dipercayai datang dari Tangkak, Johor dan bukannya negeri ini.

Menurutnya, maklumat awal yang diperoleh mendapati situasi itu berpunca daripada aktiviti penternakan ayam dan pembuangan sampah dari hulu sungai di Johor.

"Kita telah menggesa pihak terbabit mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini termasuk pihak berkuasa di kawasan bersebelahan sama ada Tangkak ataupun Muar Johor kerana jika dibiarkan kita bimbang pengguna juga berkemungkinan mendapat bekalan air yang tercemar.

"Harap orang ramai mahupun pihak industri digesa tidak membuang sisa penternakan dan pertanian ke sungai selain menggesa pihak berkuasa memantau lokasi yang sering menjadi tempat pembuangan sisa-sisa ini," katanya.

Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab pula berkata, kerajaan negeri difahamkan pencemaran itu berpunca dari buangan penternakan ayam dan najis babi di Tangkak.

"Kita semua harus sedar bahawa membuang sisa-sisa tersebut adalah bertentangan dengan undang-undang dan boleh didakwa.

"Seharusnya pihak berkuasa memastikan langkah-langkah terbaik bagi memastikan air yang tercemar," katanya.