Terengganu sasar kedatangan tiga juta pelancong tahun depan

Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan seramai tiga juta pelancong akan berkunjung ke negeri itu tahun depan. Gambar hiasan
Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan seramai tiga juta pelancong akan berkunjung ke negeri itu tahun depan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan seramai tiga juta pelancong akan berkunjung ke negeri itu tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.

Beliau berkata, pengurangan sasaran berbanding kira-kira lima juta pelancong pada tahun-tahun sebelumnya itu adalah disebabkan pandemik Covid-19 yang masih menular selain mengambil kira pintu sempadan antarabangsa untuk pelancongan yang belum dibuka.

“Kalau hendak letak sasaran tinggi, kita belum ada makluman bila pelancong asing boleh masuk, jadi saya jangkakan bila pulau dibuka betul-betul, mungkin Februari ini pelancong asing sudah boleh masuk Malaysia dan boleh ke pulau.

“Oleh kerana sebelum ini 20 hingga 30 peratus pelancong di Terengganu terdiri daripada pelancong asing, jadi akan meningkatkan lagi kehadiran pelancong ke Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu 2021-2025 di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada pengusaha pelancongan terutama di pulau-pulau peranginan untuk memutuskan sama ada ingin menutup atau meneruskan operasi mereka pada musim tengkujuh ini.

Bagaimanapun, katanya, pengusaha yang ingin meneruskan operasi mereka harus mengutamakan keselamatan pelancong seperti mewajibkan pemakaian jaket keselamatan.

Beliau berkata, meskipun kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengarahkan operasi pelancongan di kawasan pulau ditutup, namun pihaknya percaya pengusaha-pengusaha resort dan hotel lebih berpengalaman dalam menghadapi situasi musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

“Kita boleh arahkan pihak polis untuk berbincang dengan MKN (Majlis Keselamatan Negeri Terengganu) untuk mengarahkan semua pulau ditutup tetapi oleh kerana pengusaha ini bukan (hanya) setahun mengusahakan, mereka sudah ada pengalaman berpuluh-puluh tahun jadi kita serah kepada kebijaksanaan mereka,” katanya. - Bernama