Selepas 5 tahun menganggur, OKU teruja dapat kerja

Farah Azira, Muhammad Firdhauz
Farah Azira, Muhammad Firdhauz
A
A
A

SEREMBAN - Menjadi hari paling bermakna buat seorang orang kurang upaya (OKU) bisu apabila diterima bekerja di sebuah pasar raya selepas lima tahun menganggur.

Farah Azira Mohd Nor, 31, diterima bekerja selepas menghadiri sesi temuduga terbuka Karnival Kerjaya Inspirasi 2021 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Rabu.

"Saya pergi temuduga banyak tempat sehingga ke Pulau Pinang tetapi semua permohonan ditolak.

"Dalam tempoh lima tahun tiada kerja, saya jadi pengasuh kanak-kanak.

Saya bersyukur hari ini (Rabu) saya diterima dan tidak sabar mahu memulakan bekerja," katanya ketika ditemui pada karnival itu.

Anak kedua dari lima beradik dan mempunyai kelulusan Sijil Kemahiran Khas Politeknik dalam bidang reka bentuk grafik berharap lebih banyak majikan yang memberi peluang pekerjaan kepada OKU.

Sementara itu, Muhammad Firdhauz Abdul Rashid, 24, yang merupakan OKU fizikal pula berharap akan mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.

Menurutnya, penganjuran karnival itu sangat membantu dan memudahkan OKU mencari pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dia berharap peluang pekerjaan yang ditawarkan lebih baik dan bukan pekerjaan yang ditolak individu lain.

"OKU juga ada yang berpelajaran.

Kami bukannya memilih tetapi mahu juga diberi peluang bekerja seperti individu normal.

"Sebelum ini saya bertugas memasukkan data penerimaan barang di sebuah syarikat tetapi mereka tak faham keadaan saya," katanya yang mempunyai sijil kemahiran Microsoft dan Excel.

Fuad (kanan) beramah mesra dengan OKU yang menghadiri sesi temuduga.
Fuad (kanan) beramah mesra dengan OKU yang menghadiri sesi temuduga.

Muhammad Firdhauz yang menjadi OKU selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya empat tahun lalu mengakui pada awalnya bukan mudah menerima hakikat itu.

"Selepas kemalangan itu, dua tahun saya duduk di rumah kerana tidak yakin pada diri.

Selepas selesai menjalani rawatan saya terus membuat keputusan mencari kerja dan mahu memajukan diri," katanya.

Sementara itu Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, sebanyak 450 jawatan kosong ditawarkan dalam karnival berkenaan antaranya dalam sektor perhotelan, perkilangan dan pasar raya.

Menurutnya, seramai 14 majikan yang mengambil bahagian dalam temu duga terbuka diadakan dengan tawaran gaji antara RM1,200 hingga RM3,500.

"Penglibatan majikan dalam karnival ini sangat positif dan ada majikan yang sememangnya sudah mengambil pekerja OKU bekerja di syarikat mereka.

"Tujuan Perkeso menganjurkan karnival ini untuk beri peluang kepada OKU mendapatkan pekerjaan sekali gus membantu mereka jalani hidup normal seperti orang lain," katanya.

Jelas beliau, karnival skala besar sebegitu pertama kali dianjurkan dan Perkeso akan jadikan ia sebagai program tahunan.