Malaysia sasar jadi negara peneraju 5G tiga tahun lagi

Malaysia disasarkan menjadi antara negara peneraju teknologi 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang menerusi pelaksanaan teknologi 5G itu oleh syarikat tujuan khas (SPV), Digital Nasional Berhad (DNB).- Gambar hiasan
Malaysia disasarkan menjadi antara negara peneraju teknologi 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang menerusi pelaksanaan teknologi 5G itu oleh syarikat tujuan khas (SPV), Digital Nasional Berhad (DNB).- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia disasarkan menjadi antara negara peneraju teknologi 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang menerusi pelaksanaan teknologi 5G itu oleh syarikat tujuan khas (SPV), Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan adanya DNB, kerajaan berharap ia dapat mempercepatkan peluasan kadar capaian rakyat terhadap rangkaian 5G di seluruh negara.

"Kita tahu kalau dibandingkan dengan negara-negara jiran, kita agak perlahan dari segi perkembangan teknologi 5G ini, jadi dengan adanya DNB kita dapat percepatkan perluasan 5G ini.

"Ini satu agenda nasional yang sangat penting kerana ia juga menjadi 'game changer' (penentu) kepada aktiviti ekonomi seluruh negara.

"Ini penting kepada kerajaan kerana sebahagian daripada perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 bergantung kepada keupayaan kita menyediakan 5G," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Pembentangan dan Demonstrasi Pelaksanaan '5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration' di Ibu Sawat Telekom Malaysia (TM) Setapak di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Ralph Marshall.

Annuar memberitahu, DNB merupakan syarikat milik penuh kerajaan akan membangunkan semua infrastruktur pelaksanaan 5G dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi sedia ada di negara ini untuk menjimatkan kos.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, ia juga merupakan model baharu yang dikenali sebagai MOCN.

“Model MOCN yang dikendalikan DNB menjadikan perkhidmatan 5G kelak tidak lagi menggunakan konsep operator berbeza, infrastruktur berbeza sebaliknya menekankan tentang kepunyaan tunggal supaya perkhidmatan diberi lebih efisen dan dapat mengurangkan kos harga.

"Konsep yang ada sekarang memperlihatkan setiap syarikat telekomunikasi membina prasarana sendiri yang menyebabkan ada implikasi pada kos dan akhirnya ditanggung pengguna," katanya.

Justeru itu, kata beliau, menerusi model MOCN yang digunapakai berkonsep seperti sebuah lebuh raya kepunyaan seorang sahaja pemilik iaitu DNB dan ia akan digunakan oleh semua syarikat telekomunikasi.

Dengan pendekatan itu, ujarnya, tiada lagi persaingan antara syarikat telekomunikasi dan mereka kembali kepada prinsip asas iaitu untuk menyediakan perkhidmatan rangkaian yang lebih baik kepada rakyat.

Justeru itu, beliau menegaskan, dengan konsep yang digunapakai menerusi teknologi 5G, kerajaan dapat memastikan kos perkhidmatan dapat dikurangkan.

Bagaimanapun, Annuar menegaskan bahawa tidak semestinya setiap teknologi baharu akan menyebabkan harga perkhidmatan akan turut tinggi kerana ia bergantung kepada keefisenan projek itu dilaksanakan.

"Keefisenan ini sangat penting untuk kita pastikan kos perkhidmatan yang efektif dan mampu milik kepada pengguna.

"Malah, soal harga atau caj perkhidmatan ini adalah satu prasyarat yang kita kenakan pada DNB (untuk pelaksanaan teknologi 5G)," katanya.

Annuar menambah, dalam menyediakan kemudahan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus memainkan peranan sebagai badan pengawal selia supaya tiada pihak perlu risau isu ketelusan dan sebagainya.

Katanya, seperti yang terkandung dalam pelan tindakan MyDigital, DNB diberikan tempoh sebelum akhir tahun ini untuk melaksanakan perkhidmatan 5G bagi kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

”Ini bermakna dalam tempoh tiga tahun ini, kita jangka dapat memberi liputan kepada 80 peratus populasi kawasan di seluruh negara," katanya