Calon PN Pengkalan Batu mahu atasi masalah banjir

Azrudin melihat keadaan longkang di Kampung Solok Balik Bukit Peringgit yang tidak sistematik hingga menyebabkan banjir berlaku.
Azrudin melihat keadaan longkang di Kampung Solok Balik Bukit Peringgit yang tidak sistematik hingga menyebabkan banjir berlaku.
A
A
A

MELAKA - Anak kepada bekas Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Azizah Sultan yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) Pengkalan Batu Dewan Undangan Negeri (DUN) N15 mahu memberi tumpuan lima kawasan 'hot spot' banjir di DUN itu.

Mohd Azrudin Md Idris,40, berkata, biarpun pertama kali berada dalam gelanggang calon pilihan raya, namun masalah yang sering kali dihadapi rakyat tanpa titik noktah itu perlu diberikan perhatian.

Menurutnya, lima kawasan yang dikenal pasti itu termasuk Kampung Pulau Kelapa dan Solok Balik Bukit Peringgit, Batu Hampar, Kampung Pasir Putih, Kampung Sarang Helang dan Bachang Utama.

Ujarnya, melalui maklum balas yang diterima daripada penduduk dan hasil turun padang ke lokasi yang sering terjejas itu mendapati, saluran pengaliran tidak sistematik antara punca utama banjir berlaku.

"Seperti di Kampung Pulau Melaka dan Solok Balik Bukit Peringgit ini kita lihat keadaan longkang telah lama tidak dinaik taraf sehinggakan air tidak dapat mengalir.

"Apa yang kita lihat tadbir urus yang tidak betul berlaku, sepatutnya pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak yang bertanggungjawab menyelenggara longkang-longkang ini supaya tidak tersumbat dan boleh mengurangkan masalah banjir," katanya yang juga seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, penduduk Muhammad Yassin Zulkifli, 31, ditemui, berkata, pernah berlaku dalam tempoh 45 minit hujan lebat telah mengakibatkan banjir melanda hingga menjejaskan kira-kira 60 buah rumah penduduk selain kira-kira 200 lebih rumah di Kampung Pulau Kelapa dengan anggaran lebih 700 penduduk terlibat.

Menurutnya, penduduk mengharapkan adanya penyelesaian terbaik dan tidak sekadar hanya memberikan bantuan, namun masalah tetap berulang dan berpanjangan.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kadang dalam satu tahun sehingga empat kali banjir berlaku dan selepas projek pembinaan flyover di Peringgit siap, lagi banjir kerap berlaku.

"Banjir dah jadi tradisi sehinggakan penduduk terpaksa menanggung banyak kerugian," katanya.

Warga emas Razali Yussof, 62, berkata, bukan sahaja longkang tidak diselenggara dengan baik malah yang membimbangkan kawasan persekitaran Solok Balik Bukit Peringgit bersemak dan menjadi habitat binatang berbisa.

"Banjir satu hal dengan usia longkang lebih 50 tahun tidak dinaik taraf, ditambah pula kawasan semak," katanya.