Agong terima watikah pelantikan 13 perwakilan asing ke Malaysia

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia selepas Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan di Istana Negara pada Rabu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia selepas Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan di Istana Negara pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan menerima watikah pelantikan 13 ketua perwakilan asing ke Malaysia, di Istana Negara di sini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Menghadap itu.

Hadir sama ke istiadat itu ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Ketua-ketua perwakilan asing berkenaan ialah Bulat Sugurbayev dari Kazakhstan, Nineta Barbulescu (Romania), Dr Hajara Salim Ibrahim (Nigeria), Edmundo Font Lopez (Mexico), Dr Justin Lance Lee (Australia) dan Andreas Launer (Austria).

Yang lain ialah Dr Joachim Bergstrom dari Sweden, Irfan Davudov (Arzebaijan), Morten Paulsen (Norway), BN Reddy (India), Massimo Rustico (Itali), Datuk Mahmud Saidin (Brunei Darussalam) dan Ragai Tawfik Said Nasr (Mesir).

Sugurbayev merupakan bekas Pengarah Jabatan Amerika, Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Kazakhstan dari tahun 2015 hingga Februari 2021, sementara Barbulescu pernah menjadi Duta Romania di Nauru pada tahun 2019.

Hajara pula pernah berkhidmat sebagai Ketua Bahagian, Dewan Perwakilan Nigeria antara tahun 1993 dan 2015.

Sementara itu, Lopez sebelum ini adalah Duta Mexico di St Lucia dari tahun 2012 hingga 2013, manakala Justin Lance adalah bekas pegawai kanan kerjaya di Jabatan Hal Ehwal Luar Australia.

Artikel Berkaitan:

Launer pernah menjadi Konsul Jeneral Austria di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun 2017 manakala Bergstrom sebelum ini merupakan Duta Sweden di Korea Utara selama dua tahun bermula 2019.

Davudov sebelum ini merupakan Ketua Bahagian, Jabatan Dasar Belia dan Isu Sukan Azerbaijan sementara Paulsen pernah berkhidmat sebagai Konsul Jeneral Norway di Texas, Amerika Syarikat pada tahun 2015 hingga 2019.

Reddy pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bersama (Kerjasama Antarabangsa) Kementerian Petroleum dan Gas Asli, New Delhi, India manakala Rustico adalah Duta Itali di Hungary selama lima tahun sejak tahun 2016.

Mahmud pernah bertugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Brunei di Pakistan pada tahun 2015 hingga 2021 manakala Ragai adalah bekas Duta Besar Mesir di Zambia antara tahun 2014 dan 2017. - Bernama