BN janji sedia peruntukan kepada ADUN pembangkang

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) berjanji untuk meminda perlembagaan negeri Melaka bagi melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan termasuk dalam kalangan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) di Melaka.

Janji itu adalah sebahagian daripada manifesto BN yang diumumkan Pengarah Pilihan Raya BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan secara maya di platform Facebook rasmi Ketua Menteri Melaka, Melaka Hari Ini, Barisan Nasional dan UMNO Online pada Rabu.

Jelas Mohamad, cadangan itu dibuat bagi membuka ruang dan perspektif persidangan DUN di luar ruang lingkup politik semata-mata, sekali gus kematangan politik ini terus turut dimanifestasikan.

“Selain itu, kita berjanji untuk menyediakan peruntukan kepada semua ADUN termasuk ADUN bukan kerajaan sebagai langkah memastikan kemakmuran kepada seluruh rakyat negeri Melaka tanpa mengira latar belakang politik masing-masing.

“Ini menunjukkan ketersediaan dan keberanian pentadbir kerajaan negeri yang bakal diwujudkan kelak, untuk mendengar suara semua pihak,” jelasnya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, bagi merealisasikan janji itu, BN perlu menang dengan dua pertiga jumlah kerusi yang dipertandingkan, sekali gus membolehkan cadangan itu diketengahkan kerajaan untuk pindaan dan melaksanakannya.

BN mengumumkan lima teras utama dalam manifestonya bagi PRN Melaka, merangkumi kestabilan politik, lonjakan ekonomi baharu, kecekapan tadbir urus, masyarakat bersatu padu dan pembangunan mapan serta perkongsian kemakmuran.

Bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran, lima teras itu turut merangkumi 103 inisiatif bersifat inklusif dan realis, khusus untuk orang Melaka.

Artikel Berkaitan: