X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

BN umum lima teras, 103 inisiatif dalam manifesto

Mohamad mengumumkan manifesto itu secara maya di platfom Facebook rasmi Ketua Menteri Melaka, Melaka Hari Ini, Barisan Nasional dan UMNO Online, pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) mengumumkan lima teras utama dalam manifestonya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang merangkumi kestabilan politik, lonjakan ekonomi baharu, kecekapan tadbir urus, masyarakat bersatu padu dan pembangunan mapan serta perkongsian kemakmuran.

Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bermotokan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’, lima teras itu turut merangkumi 103 inisiatif bersifat inklusif dan realis, khusus untuk orang Melaka.

Menurutnya, manifesto itu adalah berdasarkan keperluan rakyat dan BN tidak sesekali membuat manifesto secara semberono serta berpijak di bumi yang nyata.

“Teras yang menjadi pokok utama dalam manifesto kali ini adalah mengekalkan kestabilan politik menerusi meraikan politik yang matang. Saya yakin episod lalu membuka mata kepada kita semua bahawa ketidakstabilan yang berlaku bukan disebabkan rakyat, sebaliknya pengkhianatan.

“Ia terjadi dek kerana tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan kepentingan rakyat di belakangnya. Kami juga tidak akan sesekali mengiktiraf pengkhianat atau menerima apa yang dipanggil ‘katak berprinsip’ hanya semata-mata untuk memancing undi dan meraih kemenangan.

“BN tidak mengharapkan populariti semata-mata dan tidak juga mahu dilihat menjadi hero kepada rakyat. Setiap wakil rakyat yang dipilih nanti, bekerja untuk rakyat di segenap pelosok negeri ini tanpa mengira kawasan bandar, kampung mahupun di hujung sempadan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN mengumumkan manifesto itu secara maya di platform Facebook rasmi Ketua Menteri Melaka, Melaka Hari Ini, Barisan Nasional dan UMNO Online pada Rabu.

Bagi teras kedua pula, BN menetapkan janji untuk merealisasikan lonjakan ekonomi baharu menerusi kekuatan sektor ekonomi sedia ada yang terdapat di Melaka.

Jelasnya, mereka telah memperincikan beberapa inisiatif untuk terus memacu industri pelancongan Melaka sebagai destinasi terunggul dan disokong dengan agenda untuk memfokuskan kepada pembangunan ekonomi baharu yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kita akan pastikan bakat tempatan diperkasakan, kemahiran dan bakatnya menerusi program-program latihan yang akan dilancarkan. Kita akan terus memberi sokongan kepada usahawan dan peniaga sebagai kelangsungan kepada perniagaan mereka.

“Kita tidak pernah lupakan para nelayan, petani dan penternak yang menjadi pemain utama kepada sektor pertanian di negeri ini. Kelak, segala yang berterusan ini akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan orang Melaka,” ujar beliau.

Tambah Mohamad, bagi teras ketiga pula, mereka akan memberikan komitmen dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan yang terus diperjuangkan oleh BN.

Segala kelemahan dan kekurangan akan diperbaiki dan diperkasakan dengan sokongan anak muda dan dalam kalangan Melaka.

Justeru, BN akan mengangkat inisiatif untuk mewujudkan DUN Belia Melaka dalam usaha mendengar dan memanfaatkan idea, pandangan dan perubahan yang hendak dilaksanakan di Melaka.

“Melalui teras yang keempat pula, kita berjanji untuk terus memelihara keharmonian masyarakat kerana kerajaan Barisan Nasional sendiri berpaksikan kepada pelbagai agama dan budaya.

“Kita akan terus menghulurkan sokongan sosial komuniti kepada semua. Kita martabatkan golongan belia selaku ejen perubahan masa depan serta memperkasakan golongan orang kelainan upaya (OKU) dan orang asli di sini.

“Kita turun untuk menyantuni warga emas dan menjadi sebahagian daripada keluarga kita. Kita hargai wira negara, barisan hadapan yang berjuang dalam pandemik Covid-19 dan kita akan terus berjuang serta memberi keutamaan kepada wanita yang menjadi nadi kesejahteraan keluarga Melaka,” katanya.

Bagi teras kelima pula, BN berjanji untuk menjayakan agenda pembangunan mapan dan perkongsian kemakmuran bersama rakyat Melaka.

“Kerajaan Barisan Nasional juga telah mengenal pasti projek-projek pembangunan yang berimpak tinggi, dengan keperluan untuk menyediakan utiliti dan kemudahan awam yang berkualiti sehinggalah kepada usaha-usaha mengatasi banjir serta melestarikan alam sekitar di Melaka.

“Secara keseluruhannya, lima teras ini merangkumi sebanyak 103 inisiatif yang bersifat inklusif untuk keluarga Melaka atas prinsip tiada sesiapa yang tertinggal. Semua ini akan membawa kita kepada matlamat kestabilan demi kemakmuran,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!