VOP dalam kontrak kerja kerajaan diperkenal semula

 Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melaksanakan semula syarat perubahan harga (VOP) di dalam kontrak kerja kerajaan susulan kenaikan mendadak harga bahan binaan dan logistik kesan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pelaksanaan itu dibuat seperti diluluskan Kementerian Kewangan (MoF) yang berkuat kuasa bagi kontrak bermula 1 Januari sehingga 31 Disember ini.

Beliau berkata, pekeliling tersebut berkuat kuasa bagi semua kontrak kerja konvesional kerajaan bermula tempoh yang ditetapkan iaitu meliputi kerja bangunan, kejuruteraan awam dan mekanikal & elektrikal (M&E) bagi kerja-kerja sebutan harga serta kontrak bernilai RM500,000 ke atas.

“Kerajaan juga mengambil maklum bahawa kontrak kerja kerajaan tidak hanya dilaksanakan secara konvensional. Terdapat juga kontrak kerja yang dilaksanakan secara reka dan bina.

“Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah mengemukakan permohonan kepada MoF bagi meluaskan pemakaian VOP bagi kontrak kerja reka dan untuk projek-projek pada 1 September 2021 dan masih menunggu pertimbangan,” katanya ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) berhubung semakan semula yang dibuat mengenai kos projek kerajaan berikutan kenaikan mendadak harga bahan binaan dan logisitik serta adakah kerajaan akan memperkenalkan semula VOP.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, berdasarkan kajian terhadap data Jabatan Perangkaan Malaysia dari Januari sehingga Ogos tahun ini yang diunjurkan sehingga Disember 2021, didapati berlaku kenaikan kepada indeks kos.

Jelas beliau, kenaikan yang direkodkan pada kadar di antara tiga dan 19 peratus di seluruh negara kesan pandemik Covid-19 dan peningkatan harga pasaran global.

Artikel Berkaitan: