Muhyiddin cadang mekanisme baharu agih bantuan

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadangkan mewujudkan satu mekanisme penyelarasan baharu pengagihan bantuan oleh pelbagai agensi kerajaan atau badan sukarela bagi memastikan tidak berlaku pertindihan.

Tan Sri Muhyidddin Yassin (Bersatu-Pagoh) mengakui beliau menerima laporan ada rakyat yang terlebih menerima bantuan dan ada tercicir.

Beliau berkata, perkara itu kemungkinan berlaku disebabkan tiada keseragaman atau penyelarasan pengagihan oleh pihak yang berkenaan.

“Sehubungan itu, saya ingin menyarankan kerajaan menstruktur semula semua jenis bantuan yang ada di semua agensi termasuk kerajaan pusat dan negeri.

“Kedua, manfaatkan keupayaan Artificial Intelligence (AI) dengan mewujudkan satu sistem pengurusan bantuan yang bersifat 'end to end' dan automatik yang mana bantuan boleh terus disalurkan ke akaun penerima dengan kadar segera sekiranya berlaku bencana, musibah, kehilangan kerja atau jatuh di bawah kategori miskin atau miskin tegar.

“Saranan ketiga ialah mewujudkan satu 'exit policy' bagi setiap kategori penerima bantuan supaya mereka tidak kekal dalam status yang sama dalam jangka masa yang panjang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sementara itu, dalam sesi perbahasan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut berharap semua bantuan yang diumumkan dalam Bajet 2022 segera disalurkan kepada kumpulan sasaran.

Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan golongan yang terkesan dibantu segera dan tidak dibiarkan menanggung kesusahan.

Artikel Berkaitan:

“Semenjak lebih setahun lalu, pandemik Covid-19 telah membadai negara dan kehidupan rakyat. Ramai rakyat khususnya mereka dalam kumpulan M40 dan B40 yang terjejas pendapatan mereka.

“Ada yang jatuh miskin, perniagaan gulung tikar dan sebagainya. Kemiskinan kini menjadi satu masalah utama yang perlu ditangani oleh kerajaan,” katanya.