Ugut bakar rumah, penganggur dipenjara lima bulan

Chee Sing (depan, tengah) mengaku salah melakukan ugutan jenayah di Mahkamah Majistret Kulai, pada Rabu.
Chee Sing (depan, tengah) mengaku salah melakukan ugutan jenayah di Mahkamah Majistret Kulai, pada Rabu.
A
A
A

KULAI - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat ugutan jenayah pada September lalu.

Tertuduh Teng Chee Sing, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Mengikut pertuduhan, Chee Sing didakwa membuat ugutan jenayah terhadap seorang lelaki dengan niat hendak membakar rumahnya di Taman Putri Kulai.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah bank di Indahpura, Kulai pada kira-kira jam 12.46 tengah hari pada 21 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama dua tahun serta hukuman yang di peruntukkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edlynn Wong dan tertuduh diwakili peguam, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hidayah Asri.

Sebelum itu, peguam meminta agar hukuman denda yang paling minimum dikenakan kerana tertuduh tidak mempunyai pekerjaan dan masalah kesihatan.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya mahu mahkamah memberi hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira kepentingan awam dan seterusnya dapat memberi pengajaran kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Majistret seterusnya menjatuhkan hukuman penjara lima bulan selain memberi peringatan kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Pada Selasa, media melaporkan penahanan seorang ah long yang terlibat mengugut Timbalan Pengerusi MCA Kulai, Chua Jian Boon.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pada jam 2.45 petang di Taman Abad, di sini pada 31 Oktober lalu.

Sebelum itu, Bahagian D7 Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan tiga lelaki warga tempatan pada 27 Oktober lalu di kawasan Permas Jaya dan Taman Setia Indah.