OKU diberi pengecualian ikuti kursus praperkahwinan Islam

Idris Ahmad - Foto Bernama
Idris Ahmad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan orang kelainan upaya (OKU) telah diberikan pengecualian daripada mengikuti kursus praperkahwinan Islam selepas mengambil kira kekangan yang dihadapi mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator, Idris Ahmad berkata, pengecualian itu selaras dengan keputusan Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Seluruh Malaysia (KPNCR) kali ke-39/2018.

“Seperti yang telah dimaklumkan bahawa golongan OKU telah diberikan pengecualian daripada mengikuti kursus praperkahwinan Islam, maka jumlah penyertaan daripada golongan ini adalah tidak ramai dan rekod amat sedikit.

“Data yang diperoleh daripada negeri Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) contohnya, merekodkan bahawa penyertaan kursus praperkahwinan Islam untuk OKU hanya seramai 36 orang pada tahun 2019 dalam kalangan OKU pendengaran,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) yang mahu kerajaan menyatakan sejauh mana pelaksanaan kursus praperkahwinan kepada komuniti OKU telah dijalankan sebagaimana yang telah digariskan pada Dasar Pemerkasaan OKU Rabbani dan bilangan peserta yang telah menyertainya.

Tambahnya, Melaka menggantikan pengecualian menghadiri kursus praperkahwinan kepada pelaksanaan temuduga kepada OKU penglihatan, pendengaran dan lembam.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Idris turut memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga sedang membangunkan Pelan Tindakan OKU Muslim sebagai inisiatif memenuhi keperluan golongan OKU Muslim.

Jelasnya, pelan tersebut dibangunkan bagi mendukung Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan Dasar OKU Negara yang sedia ada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, perkara ini akan diambilkira dan dibincangkan untuk diberikan perhatian dalam penggubalan pelan tersebut,” katanya.