Anggota polis cedera dilastik batu bertubi-tubi

PDRM
PDRM
A
A
A

TAIPING - Seorang anggota polis cedera di mata kiri akibat dilastik dengan batu dalam kejadian di Kampung Tersusun Sungai Kerang, Padang Gajah, Trong di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, anggota yang berpangkat lans koperal sedang bertugas mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, mangsa berusia 33 tahun bersama rakan setugasnya membantu untuk mengesan suspek berusia 58 tahun di rumahnya.

Menurut beliau, suspek dipercayai terlibat dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.

"Apabila sampai di alamat berkenaan, suspek enggan memberi kerjasama dengan tidak membuka pintu.

"Tiba-tiba suspek menyerang anggota dengan melastik batu secara bertubi-tubi hingga terkena mata kiri dan belakang kepala mangsa. Akibat serangan itu mangsa telah rebah," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Anuar berkata, mangsa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Taiping.

"Dalam kejadian itu, suspek berjaya ditahan dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam," katanya.