'Gelombang kedua air lebih laju, berselut'

Kejadian kepala air yang berlaku pada jam 5 petang pada Selasa yang sempat dirakam oleh pengunjung
Kejadian kepala air yang berlaku pada jam 5 petang pada Selasa yang sempat dirakam oleh pengunjung
A
A
A

KUBANG PASU - Penduduk di Kampung Lahar, Jitra tidak menyangka tragedi kepala air di Hutan Lipur Bukit Wang pada petang Selasa menyebabkan kenaikan paras air yang tinggi dari kebiasaan.

Seorang suri rumah, Noraini Ramli,43, berkata, kejadian kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan rumahnya dinaiki air setinggi satu meter.

"Saya sedang mengemas bahagian dapur rumah setelah air gelombang pertama masuk ke rumah kira-kira jam 7 petang. Sewaktu kali pertama air masih jernih dan parasnya tidak tinggi tetapi sekitar jam 8 malam, gelombang kedua air datang dengan lebih laju dan penuh selut.

"Saya tidak sempat capai apa- apa barang, cuma terfikir untuk selamatkan anak- anak dan ibu mentua yang terlantar," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di sini, pada Rabu.

Menurutnya, kali terakhir keluarga mereka menghadapi banjir kilat akibat kepala air adalah empat tahun lalu.

"Sebelum ini, air banjir tidak sampai masuk ke dalam rumah. Tetapi kali ini agak teruk sehingga kami diarahkan berpindah oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) apabila paras air semakin tinggi," katanya.

Seorang lagi penduduk, Jamilah Saad, 56, berkata, dia sempat memindahkan suaminya, Hassan Ismail, 60, yang terlantar akibat strok ke rumah saudara terdekat sebelum gelombang kedua air banjir berlaku.

Artikel Berkaitan:

Noraini (tengah) bersama ibu mentua, Wan Miah,80 dan anaknya Afiq Udin Shukri, 8 di PPS SK Malau.
Noraini (tengah) bersama ibu mentua, Wan Miah,80 dan anaknya Afiq Udin Shukri, 8 di PPS SK Malau.

"Mujur saya sempat pindahkan suami sebab air gelombang kedua sangat laju. Agak sudah lama tidak menghadapi banjir seperti ini. Saya harap selepas pulang nanti, kejadian sama tidak akan berulang lagi.

"Saya susah hati apabila fikirkan keadaan suami yang terlantar, pergerakan dia terhad," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, seramai 13 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara PPS SK Malau melibatkan dua buah keluarga.

"PPS Kampung Tradisi Lembah Keriang, Changlun turut dibuka pada jam 8 pagi dan proses kemasukan mangsa sedang berjalan.

"Setakat ini tiga mukim dilaporkan dilanda banjir iaitu, Mukim Malau, Mukim Temin dan Mukim Hosba. Bagaimanapun keadaan dilaporkan stabil dan terkawal," katanya.