Polis siasat video taman tema sesak, pengunjung langgar SOP

Tular rakaman video pelanggaran SOP di sebuah taman tema.
Tular rakaman video pelanggaran SOP di sebuah taman tema.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis menjalankan siasatan terperinci berkaitan video tular berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di sebuah taman tema di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 13 saat yang telah dimuat naik di Facebook berkaitan dakwaan pelanggaran SOP di taman tema terbabit.

"Bagaimanapun, sehingga kini, kita masih belum mendapat sebarang laporan polis berkaitan isu tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Fairus berkata, siasatan awal mendapati kawasan taman tema itu boleh memuatkan seramai 40,000 orang dalam satu-satu masa.

"Kapasiti yang dibenarkan mengikut SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah seramai 20,000 orang dalam satu-satu masa," katanya.

Beliau berkata, pada tarikh kejadian iaitu Ahad, terdapat seramai 3,513 pengunjung yang direkodkan berada di dalam kawasan taman tema berkenaan.

"Kita akan menjalankan siasatan terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya wujud pelanggaran SOP Fasa Empat PPN," jelas beliau.

Mohd Fairus berkata, pihaknya mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343 untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.