Ismail Sabri bertemu Jokowi di Istana Bogor hari ini

Ismail Sabri (kanan) beramah mesra dengan Menteri Pelajaran, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Anwar Makarim sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma sempena lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia pada Selasa.
Ismail Sabri (kanan) beramah mesra dengan Menteri Pelajaran, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Anwar Makarim sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma sempena lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia pada Selasa.
A
A
A

JAKARTA, - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia dijadual diberikan sambutan rasmi di Istana di Bogor, kira-kira 60 kilometer (km) dari Jakarta pada tengah hari Rabu.

Perdana Menteri dalam kemas kini Twitternya berkata: "Saya akan mengadakan pertemuan dengan (Presiden Indonesia) Bapak (Joko Widodo) Jokowi untuk membincangkan beberapa perkara demi kepentingan rakyat Malaysia-Indonesia."

"Beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian di antara kedua-dua negara akan dimeterai atas kepaksian hubungan akrab antara dua negara berjiran.

"Dalam memperkasa industri pertahanan, saya juga akan mengadakan lawatan ke pusat kemudahan industri pertahanan yang terdapat di Bandung,” katanya.

Ini merupakan lawatan pertamanya ke Indonesia sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021.

Selepas jamuan negara di istana, Ismail Sabri akan kembali ke hotel penginapannya untuk bertemu dengan pemimpin industri Indonesia, sebelum menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman pada sebelah malam.

Beliau juga dijadual mengadakan dialog dengan diaspora Malaysia semasa majlis makan malam.

Sepanjang lawatan itu, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq. - Bernama

Artikel Berkaitan: